UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan meneroka kefahaman pelajar Biologi di sebuah kolej matrikulasi terhadap konsep kitar karbon menerusi visualisasi penjanaan kendiri (self-generated visualization). Terdapat empat objektif dalam kajian ini iaitu, meneroka pemprosesan maklumat, mengenal pasti model mental yang terhasil dalam kalangan pelajar berbeza tahap pencapaian, menganalisis kefahaman pelajar mengenai konsep kitar karbon dan seterusnya mencadangkan kerangka instruksi visualisasi penjanaan kendiri terhadap konsep kitar karbon. Reka bentuk kajian yang digunakan adalah Grounded theory. Pensampelan bertujuan digunakan untuk memilih pelajar Biologi tersebut. Data dikumpul dengan menggunakan temu bual mendalam (in-depth interview), tugasan visualisasi kitar karbon dan ujian kefahaman kitar karbon. Data temu bual dan dokumen tugasan dianalisis secara kualitatif dengan menggunakan kaedah perbandingan berterusan (constant comparison method) manakala ujian kefahaman kitar karbon dianalisis dan dilaporkan secara deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan terdapat empat proses yang timbul dalam pemprosesan maklumat visualisasi, iaitu proses perhatian, pengekodan, visualisasi mnemonik dan pemanggilan visualisasi. Penjanaan visualisasi kendiri pelajar menghasilkan dua model mental iaitu model mental grafik dan teks. Hasil ujian kefahaman menunjukkan peningkatan yang ketara dalam kefahaman dan huraian konsep abstrak yang dipelajari terutamanya dalam kalangan pelajar berpencapaian sederhana dan rendah. Satu kerangka instruksi visualisasi penjanaan kendiri terhadap konsep abstrak umumnya dan kitar karbon khususnya telah dicadangkan. Dapat dirumuskan bahawa visualisasi penjanaan kendiri boleh membantu pelajar Biologi untuk memahami konsep abstrak dengan lebih bermakna. Justeru diharapkan kerangka instruksi yang dihasilkan dapat membantu dalam pengajaran dan pembelajaran konsep abstrak sains. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |