UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan untuk meneliti keunggulan kepengarangan Mu.Anbuchelvan
terhadap lima kumpulan cerpen yang memuatkan 49 buah karya yang dihasilkan dari
tahun 1971 hingga 2008. Objektif kajian ialah meneliti kehadiran subjek dan persoalan,
menghuraikan perlanggaran dan pengukuhan dalam cerpen dan menilai pencapaian
pengarang mengikut kriteria teori teksdealisme. Analisis dilakukan dengan
menggunakan teori sastera teksdealisme untuk melihat mutu dan keunggulan teks
pengarang. Empat prinsip yang menjadi landasan teori ini ialah prinsip kehadiran,
prinsip perlanggaran, prinsip pengukuhan dan prinsip keperibadian. Kajian ini
menggunakan reka bentuk kajian kualitatif dengan kaedah kepustakaan dan analisis
kandungan. Hasil daripada kajian, pengkaji mendapati pengarang memanfaatkan
pengalaman sendiri, penyelidikan, persekitaran, pembacaan, penglihatan, pendengaran
dan latar pekerjaan dalam menghasilkan lima kumpulan cerpen. Pelbagai subjek dan
persoalan diutarakan dalam 49 buah cerpen. Subjek dominan yang dibincangkan dalam
cerpennya ialah keluarga dan diikuti dengan magis, sejarah dan politik.
Mu.Anbuchelvan telah melakukan perlanggaran dan pengukuhan dari segi subjek dan
persoalan, watak dan perwatakan, bahasa, aliran, konteks dan teknik penceritaan. Jati
diri pengarang ditemui dalam lima kumpulan cerpen dari aspek subjektiviti, stail
individu, reka bentuk individu, kedirian individu dan tindakan individu. Kajian ini
memberi implikasi kepada penyelidik sebagai asas memahami kepengarangan
Mu.Anbuchelvan dalam lima kumpulan cerpen. Selain itu, kajian ini juga turut
membantu khalayak memilih karya-karya yang unggul dan mendorong pengarang
mempertingkatkan hasil karyanya untuk mencapai tahap keunggulan. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |