|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah wujud di Malaysia sejak tahun 1975 yang berperanan untuk menjaga keselamatan komuniti setempat. Seiring dengan peredaran masa, peranan KRT juga telah mengalami fasa perubahan iaitu daripada menjamin keselamatan penduduk setempat kepada medium kesepaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. Kajian ini mempunyai tiga objektif iaitu menilai tahap aplikasi prinsip Rukun Negara dalam aktiviti KRT, mengukur tahap penghayatan prinsip Rukun Negara dalam aktiviti KRT sebagai medium kesepaduan antara etnik dan mengenalpasti tahap penerimaan kesepaduan sosial dalam masyarakat di KRT. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan menggunakan instrumen soal selidik serta disokong oleh pendekatan kualitatif yang melibatkan sampel kajian seramai 381 orang penduduk KRT di Tanjong Malim, Perak. Kaedah persampelan rawak digunakan berpandukan jadual Penentuan Saiz Sampel Krejcie dan Morgan (1970). Data telah dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 23 dan analisis ANOVA. Melalui analisis deskriptif yang dilakukan, aplikasi Prinsip Rukun Negara dalam aktiviti KRT sebagai medium kesepaduan antara etnik berada pada tahap sangat tinggi Dari sudut tahap penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara dalam aktiviti KRT sebagai medium kesepaduan antara etnik juga adalah sangat tinggi. Bagi tahap penerimaan kesepaduan sosial dalam masyarakat, ianya dinilai mengikut etnik Melayu, Cina dan India. Hasil dapatan mendapati bahawa secara keseluruhan, tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara kumpulan etnik terhadap tahap penerimaan kesepaduan sosial. Kajian ini mendapati bahawa masih wujud kesedaran terhadap kepentingan KRT dalam memupuk kesepaduan etnik di kalangan masyarakat. Pelaksanaan aktiviti KRT telah memberi kesan kepada kesepaduan etnik dalam masyarakat. Implikasi kajian ini adalah menunjukkan KRT dapat menyelaraskan aktiviti sosial berlandaskan prinsip-prinsip Rukun Negara dan memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada masyarakat berkaitan kepentingan KRT. Oleh itu, bagi memastikan pelaksanaan aktiviti KRT dapat dilaksanakan secara berterusan, kerjasama daripada semua pihak diperlukan dalam mencapai perpaduan yang diidamkan. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |