|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan menghasilkan kerangka pemikiran kerohanian golongan remaja bagi novel Komponen Sastera tahun 2026 hingga 2030 berdasarkan pemikiran kerohanian SPB4K dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Objektif kajian ini untuk mengenal pasti dan menganalisis perubahan pemikiran kerohanian golongan remaja dalam novel Komponen Sastera tahun 2010 hingga 2024 berdasarkan Teori SPB4K janaan Mohd Yusof Hassan. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif, dengan kaedah kepustakaan dan analisis teks. Instrumen kajian yang digunakan ialah senarai semak intrinsik (tema dan persoalan) dan ekstrinsik (falsafah dan kepercayaan) yang memfokuskan kepada pemikiran kerohanian hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam. Teks kajian yang digunakan meliputi novel Komponen Sastera (KOMSAS) Zon 2, termasuklah 12 novel daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Kajian ini mendapati novel Komponen Sastera sememangnya mengandungi unsur pemikiran kerohanian yang diterapkan oleh pengarang. Namun, berlaku kemerosotan dalam penerapan pemikiran kerohanian untuk golongan remaja oleh pengarang dalam novel Komponen Sastera bagi fasa penggunaan tahun 2016 hingga 2024, berbanding pada tahun 2010 hingga 2015. Berdasarkan kemerosotan penerapan elemen pemikiran kerohanian tersebut, pengkaji mencadangkan suatu kerangka pemikiran kerohanian untuk novel Komponen Sastera tahun 2026 hingga 2030 sebagai cadangan garis panduan dalam merancang pemilihan novel Komponen Sastera akan datang berdasarkan pemikiran kerohanian Teori SPB4K dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kesimpulannya, novel Komponen Sastera harus sesuai dengan psikologi dan falsafah sastera remaja, signifikan dengan pemikiran kerohanian golongan remaja agar matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan. Implikasinya, novel yang dipilih sebagai novel KOMSAS dapat memenuhi keperluan pemikiran kerohanian golongan remaja. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |