|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan menilai keberkesanan Modul Bimbingan Terapi Kognitif Tingkah Laku untuk Penyembuhan terhadap pengetahuan dan aplikasi TKT-P, konsep kendiri dan resilien dalam kalangan murid Tingkatan Empat di dua buah sekolah menengah di Daerah Yan, Kedah. Kajian eksperimen tulen ini melibatkan 90 orang murid yang dipilih secara rawak mudah dan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan Bimbingan Kecil (R1a, R1b, R1c; n = 30), Kumpulan Bimbingan Besar (R2; n = 30), dan Kumpulan Kawalan (K1; n = 30). Intervensi dijalankan selama lapan minggu bagi kumpulan bimbingan kecil dan secara maraton iaitu dua hari satu malam bagi kumpulan bimbingan besar, merangkumi lapan sesi dan 15 aktiviti. Soal selidik Pengetahuan TKT-P, Aplikasi TKT-P, Skala Konsep Kendiri Multidimensi (SKKM) dan Skala Daya Tahan Remaja (SDTR) digunakan sebagai instrumen kajian. Data dianalisis menggunakan SPSS versi 21.0 menerusi ANOVA, MANCOVA, MANCOVA Dua Hala dan Ujian Post Hoc Tukey pada aras signifikan p < .05. Hasil dapatan menunjukkan terdapat perbezaan signifikan antara min praujian dan min pascaujian untuk semua pemboleh ubah bersandar, iaitu pengetahuan TKT-P [F (1, 87) = 21903.933, p < .05], aplikasi TKT-P [F (1, 87) = 15045.096, p < .05], konsep kendiri [F (1, 87) = 10696.465, p < .05] dan resilien [F (1, 87) = 30488.289, p < .05]. Analisis Post Hoc Tukey menunjukkan perbezaan skor min yang signifikan antara kumpulan, dengan KBK mencatat peningkatan paling ketara dalam semua pemboleh ubah. Perbezaan skor min antara KBK dan kumpulan kawalan bagi keempat-empat konstruk berada dalam julat antara 1.47 hingga 2.19, menunjukkan kesan intervensi yang konsisten dan signifikan (p < .05). Intervensi KBK didapati lebih berkesan berbanding KBB dan kumpulan kawalan bagi semua pemboleh ubah yang dikaji. Analisis juga menunjukkan bahawa faktor jantina tidak memberi kesan signifikan terhadap perubahan skor dalam keempat-empat pemboleh ubah kajian. Secara keseluruhan, dapatan membuktikan keberkesanan Modul Bimbingan TKT-P dalam meningkatkan aspek kognitif dan emosi murid. Kajian ini memberikan implikasi penting kepada pembangunan teori dan perkembangan keilmuan kaunseling, amalan profesional dan latihan kaunseling, implikasi dasar pendidikan serta pembangunan modul intervensi di peringkat sekolah menengah yang lebih komprehensif dan berstruktur. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |