UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan membangun dan menilai Modul Pentaksiran Autentik (M-PA) untuk pengajaran matematik Tahun Satu bagi topik Wang, Masa dan Waktu. Kajian ini menggunakan reka bentuk tinjauan melibatkan soal selidik dan kaedah temu bual. Kajian juga menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen bagi menentukan keberkesanan pengajaran menggunakan M-PA. Populasi seramai 210 guru matematik Tahun Satu di daerah Kuala Terengganu terlibat dalam kajian ini bagi membangunkan M-PA dengan menggunakan gabungan Model Russell, Model Sharifah Alwiah dan Model Mohd Sidek. Data dianalisis secara analisis deskriptif bagi mendapatkan min dan sisihan piawai, manakala ANCOVA bagi menentukan perbezaan pencapaian murid antara kumpulan kawalan dan kumpulan eksperimen. Data temu bual dianalisis menggunakan analisis isi kandungan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kesediaan dan penerimaan guru terhadap Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) adalah sederhana manakala, tahap amalan dan pemantauan adalah tinggi. M-PA yang dibangunkan mempunyai 20 rancangan pengajaran bagi topik Wang, Masa dan Waktu adalah sah dan boleh dipercayai. Analisis ANCOVA juga menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan pencapaian murid dalam kumpulan eksperimen berbanding dengan kumpulan kawalan. Guru pengendali modul berpendapat bahawa modul adalah lengkap, tersusun dan sesuai dengan proses pentaksiran autentik yang dicadangkan. Kesimpulannya, kajian ini telah berjaya membangunkan M-PA yang memberi panduan kepada guru dalam melaksanakan pentaksiran autentik dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Implikasi daripada kajian ini ialah M-PA menyokong teori pembelajaran serta mampu meningkatkan pencapaian murid menggunakan pentaksiran autentik dalam KSSR Matematik. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |