UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan untuk membina dan menentusahkan Instrumen Strategi Menghafaz
al-Quran (ISMEQ) yang mengukur tahap strategi menghafaz al-Quran dalam kalangan
pelajar Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA). Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif
berbentuk tinjauan dengan skala likert empat mata. Responden terdiri daripada 549
orang pelajar Tingkatan 4 di bawah kelolaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Draf awal instrumen yang dibangunkan
mempunyai 59 item yang dibina berdasarkan model Crocker, L., dan Algina, J. daripada
empat konstruk iaitu strategi matlamat, strategi perancangan, strategi aktiviti
pengukuhan dan strategi persediaan dalaman. ISMEQ menggunakan model
pengukuran Rasch melalui kesepadanan item seperti MNSQ, unidimensionaliti, analisis
kebebasan setempat dan polariti item (PTMEA). Hanya 52 item dikekalkan dalam draf
akhir ISMEQ berdasarkan nilai analisis komponen principal (PCA) dan kesepadanan
item. Keputusan PCA menunjukkan sebanyak 44.5% dengan varians dapatkan
dijelaskan oleh item-item dalam ISMEQ dan 5.7% varians tidak dapat dijelaskan oleh
kontras pertama. Polariti item pula diukur dalam satu arah yang sama sahaja dengan
setiap item menyumbang kepada pengukuran tersebut iaitu diantara 0.00 hingga 0.58.
Kebolehpercayaan individu bagi instrumen ini ialah 0.88 dengan pengasingan 2.65
manakala kebolehpercayaan item ialah 0.99 dengan nilai pengasingan 12.99 yang
menunjukkan kecukupan sampel dan item. Instrumen juga didapati tersebar ke arah
tahap kemampuan kepelbagaian responden dengan empat item yang mempunyai
kebezaan kefungsian item (DIF) berdasarkan jantina. Kesimpulannya, ISMEQ
menunjukkan bukti-bukti kesahan dan kebolehpercayaan yang baik melalui analisis
Rasch. Implikasinya, ISMEQ dapat membantu pelajar-pelajar untuk membuat penilaian
kendiri dan institusi pula dapat menyediakan prasarana yang bersesuaian dengan pelajar
serta mempunyai potensi digunakan oleh para guru memperbaiki pedagogi. Pembinaan
ISMEQ ini menambah koleksi instrumen perkembangan akademik pelajar sedia ada di
Malaysia di samping membantu pengkaji lain yang ingin membina instrumen
pengukuran yang benar-benar adil dan boleh digunakan untuk membuat keputusan. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |