UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan membangunkan dan menilai kebolehgunaan modul Celik
Programming di Kolej Vokasional pada peringkat Sijil Vokasional Malaysia. Kajian ini
adalah untuk membantu pelajar yang tidak mahir dalam konsep Asas Pengaturcaraan
Java dalam memahami dan menguasai kemahiran pengaturcaraan. Modul Celik
Programming dibangunkan berasaskan pendekatan pembelajaran teradun
berdasarkan Teori Konstrutivisme, Teori Beban Kognitif dan Teori Penyelesaian
Masalah Kreatif. Kajian ini berbentuk kajian tinjauan dan dianalisis melalui statistik
deskriptif. Penyelidikan pembangunan modul menggunakan Model ADDIE yang terdiri
daripada lima fasa iaitu Fasa Analisis, Fasa Reka Bentuk, Fasa Pembangunan, Fasa
Pelaksanaan dan Fasa Penilaian. Pada Fasa Analisis, responden kajian melibatkan
10 orang guru dan 113 orang pelajar yang menggunakan kaedah persampelan rawak
berstrata. Fasa kedua melibatkan reka bentuk modul Celik Programming. Seterusnya
proses kesahan modul pada Fasa Pembangunan melibatkan lima orang pakar dengan
menggunakan Kaedah Indeks Kesahan Kandungan (CVI) dengan nilai purata CVI
adalah 0.98 dan Kaedah Pengiraan Peratus Persetujuan (PCM) sebanyak 91.4%.
Manakala, Fasa Pelaksanaan kajian melibatkan dua buah kolej vokasional yang
berada di Zon Tengah dan Zon Selatan menggunakan persampelan bertujuan.
Justeru, pada Fasa Penilaian, penilaian dilaksanakan kepada 4 orang guru dan 40
orang pelajar bagi mengenal pasti lima konstruk kebolehgunaan modul iaitu format
modul, isi kandungan modul, kebolehcapaian hasil pembelajaran dan
kebolehlaksanaan proses PdP dan motivasi kepada pelajar. Dapatan analisis
menunjukkan purata keseluruhan skor min persetujuan berada pada tahap tinggi iaitu
4.59. Kesimpulan daripada kajian menunjukkan bahawa pembangunan modul Celik
Programming dapat membantu para pelajar untuk memahami dan menguasai
kemahiran pengaturcaraan serta memupuk minat dan motivasi mereka bagi
mendalami topik Asas Pengaturcaraan Java. Implikasinya, modul Celik Programming
ini boleh digunakan di kolej vokasional di Malaysia untuk tujuan pengajaran dan
pembelajaran bagi topik Asas Pengaturcaraan Java. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |