UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan membuktikan kewujudan bentuk-bentuk gerakan ideologi, gerakan intelektual dan perang kesedaran dalam lima buah novel Pramoedya Ananta Toer. Kajian ini merupakan sebuah kajian kepustakaan. Sumber utama data adalah lima buah novel karya Pramoedya iaitu Gadis Pantai (1987) dan Tetralogi Bumi Manusia yang terdiri daripada Bumi Manusia (1980), Anak Semua Bangsa (1980), Jejak Langkah (1985) dan Rumah Kaca (1988). Kaedah analisis kandungan bersandarkan kerangka konsep Hegemoni Jurnalistik digunakan untuk membuktikan kewujudan bentuk-bentuk gerakan ini. Kerangka konsep Hegemoni Jurnalistik dirangka berasaskan idea Hegemoni Antonio Gramsci dan Teori Jarum Hipodermik. Antonio Gramsci percaya, teks sastera merupakan antitesis masyarakat awam (civil society) atau kelas marginal melalui elemen ideologi, intelektual dan perang kedudukan terhadap kelompok dominan. Manakala teori Jarum Hipodermik bertujuan memahamkan bentuk-bentuk gerakan ideologi, intelektual dan perang kesedaran. Daripada idea dua buah teori ini, konsep Hegemoni Jurnalisitik mengariskan tiga bentuk gerakan iaitu gerakan intelektual, gerakan ideologi dan perang kesedaran. Hasil analisis menunjukkan fungsi-fungsi jurnalistik hadir dalam lima buah novel Pramoedya dan berperanan sebagai satu bentuk hegemoni baharu kelas marginal Jawa untuk membebaskan diri daripada kekuasaan bangsawan dan kolonial Belanda. Melalui prinsip ideologi, novel-novel tersebut memperlihatkan gerakan ideologi terhadap nilai dan moral, sosiobudaya dan kesenian. Dalam aspek intelektual pula memperlihatkan gerakan dalam aspek kekuasaan, bahasa dan falsafah Jawa, manakala prinsip perang kesedaran menjurus kepada aspek undang-undang kolonial, kapitalisme dan birokrasi. Hasil kajian ini membuktikan lima buah novel Pramoedya menjadi medium pandangan dunia, pemikiran awam serta kesedaran sesebuah kelas sosial yang diwakili oleh pengarang, khususnya kelas marginal Jawa. Hasil kajian ini dapat membuktikan kekuatan karya kreatif khusus novel sebagai satu bentuk hegemoni baharu yang menyuntik maklumat-maklumat kepada pembaca dan mampu membantu membina blok sejarah kelas marginal untuk keluar daripada kesedaran palsu yang dicipta oleh elit-elit birokrasi feudal dan kolonial Belanda pada pertengahan abad ke- 19 hingga awal abad ke-20 di Jawa. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |