UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Objektif kajian ini ialah ingin mengenal pasti motif pemilikan kad kredit dikalangan
pemilik kad kredit, melihat corak perbelanjaan dan pendapatan pemilik kad kredit dan mengenal
pasti hubungan tabiat pembayaran kad kredit dengan faktor-faktor demografi dan ekonomi. Bagi
mencapai objektif kajian, tiga jenis analisis dijalankan. Analisis pertama ialah analisis motif
pemilikan kad kredit, diikuti oleh analisis kedua iaitu analisis corak perbelanjaan pemegang kad
kredit dan akhir sekali analisis ketiga ialah analisis hubungan tabiat pembayaran kad kredit dengan
faktor-faktor demografi dan faktor ekonomi. Ujian-ujian yang terlibat dalam ketiga-tiga analisis
ini ialah ujian deskriptif dan ujian penjadualan bersilang. Kajian ini menggunakan borang soal-
selidik sebagai bahan instrumen dan telah melibatkan 300 orang responden. Kaedah kutipan data
bersifat “non-random”. Keputusan-keputusan utama yang diperoleh dari analisis ini adalah seperti
berikut. Dapatan dari analisis pertama menunjukkan, peratus pemilikan kad kredit yang bermotifkan
menampung perbelanjaan semasa adalah sebanyak 22.67% manakala peratus yang bermotifkan
perbelanjaan kecemasan di masa hadapan adalah sebanyak 21.33%. Selain itu, keputusan yang diperoleh
bagi analisis hubungan motif pemilikan kad kredit dengan pendapatan adalah signifikan. Hasil
dapatan analisis kedua pula menunjukkan faktor pendapatan dan faktor perbelanjaan mempunyai
hubungan signifikan. Dapatan bagi analisis ketiga pula menunjukkan, keputusan signifikan hanya
diperoleh dalam analisis hubungan tabiat pembayaran kad kredit dengan faktor umur dan faktor
pendapatan sahaja. Sebagai implikasi, maklumat-maklumat yang diperoleh dari kajian ini bukan
sahaja menerangkan fenomena defisit semasa yang dialami oleh negara malah keputusan yang diperoleh
juga boleh dijadikan panduan pada pembuat-pembuat dasar (institusi bank dan kerajaan) dalam
melaksanakan dasar-dasar kewangan baru di masa akan datang.
Kata kunci: kad kredit, pemilikan kad kredit, faktor demografi, pendapatan dan
perbelanjaan.
|
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |