UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
Kajian ini adalah untuk meneliti kepercayaan dan amalan pengajaran GPI dalam Bidang Sirah dan
Tamadun Islam terhadap pembentukan akhlak murid di sekolah menengah.Selain itu ia juga bertujuan
untuk meninjau elemen-elemen nilai akhlak yang diterapkan oleh Guru Pendidikan Islam di dalam
pengajaran Bidang Sirah dan Tamadun Islam.Selain itu, kekangan-kekangan dalam melaksanakan
penerapan nilai akhlak ini juga turut diteliti secara mendalam. Kajian ini berbentuk kajian kes,
dengan menggunakan pendekatan kualitatif sepenuhnya. Pengumpulan data dilakukan melalui temu bual
separa berstruktur dan analisis dokumen. Data dianalisis menggunakan perisian ATLAS.ti versi8.
Seramai lima orang GPI yang telah berkhidmat di dua buah sekolah di Daerah Kuala Kangsar telah
dipilih melalui kaedah persampelan bertujuan. Kajian mendapati GPI mempunyai kepercayaan yang
kuat terhadap kesesuaian dan kepentingan penerapan nilai akhlak di dalam Bidang Sirah dan Tamadun
Islam serta mampu menerapkannya dalam konteks pengajaran. GPI didapati melaksanakan penerapan nilai
akhlak melalui strategi aktiviti kumpulan, penerangan, soal jawab serta contoh teladan. Dapatan
mengenai pelaksanaan penerapan ini menunjukkan keselarian antara kepercayaan guru dengan
pelaksanaannya di dalam pengajaran. Namun demikian, kajian turut mendapati GPI menghadapi kekangan
untuk melaksanakan penerapan secara maksima dan berterusan di dalam pengajaran. Kekangan tersebut
berupa kekangan dari aspek masa, persediaan guru, tahap murid serta kesedaran guru.Kesimpulan
daripada kajian menunjukkan kepercayaan GPI terhadap penerapan nilai akhlak telah mempengaruhi
amalan dan tindakan GPI untuk menerapkannya di dalam pengajaran Sirah dan Tamadun Islam. Implikasi
kajian ini menunjukkan kepercayaan dan amalan penerapan nilai akhlak dalam kalangan GPI dapat
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembangunan sahsiah murid melalui pengajaran Sirah dan
Tamadun Islam.
|
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |