UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
Kajian ini bertujuan menentukan kesan identiti profesional terhadap pengetahuan kurikulum prasekolah dalam kalangan guru tadika swasta. Tiga faktor identiti profesional iaitu kelayakan ikhtisas, pembangunan profesional dan pengalaman telah dikenal pasti dalam konteks Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dijadikan panduan pembinaan konsep awal identiti profesional. Kajian berbentuk tinjauan ini melibatkan 269 guru dipilih secara rawak daripada populasi guru tadika swasta seramai 929 orang di daerah Gombak, Selangor. Instrumen kajian terdiri daripada satu set borang soal selidik. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif dan inferens. Analisis ANOVA sehala mendapati terdapat perbezaan pengetahuan kurikulum prasekolah yang signifikan berdasarkan kelayakan ikhtisas [F(2, 266) = 3.05, p < 0.05] dan pembangunan profesional [F(5, 263) = 2.59, p < 0.05] responden tersebut. Perbandingan Post Hoc menggunakan ujian Tukey menunjukkan skor min pengetahuan kurikulum prasekolah bagi kumpulan guru-guru Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK)/Pendidikan Prasekolah dan ke atas (M = 3.52, SP = 0.39) berbeza secara signifikan dengan kumpulan guru-guru Sijil PAKK/Perguruan Prasekolah (M = 3.38, SP = 0.37). Selanjutnya, guru-guru yang telah menjalani pembangunan profesional dalam kumpulan Lain-lain (M = 3.66, SP = 0.34) berbeza secara signifikan dengan kumpulan guru-guru Tiada penglibatan dalam pembangunan profesional (M = 3.39, SP = 0.38). Analisis ANOVA dua-hala pula mendapati terdapat kesan interaksi signifikan antara kelayakan ikhtisas dan pengalaman [F(4, 260) = 3.01, p < 0.05] terhadap pengetahuan kurikulum prasekolah, namun secara songsang. Plot profil menunjukkan kesan interaksi paling tinggi bagi guru-guru Diploma PAKK/Pendidikan Prasekolah dan ke atas berlaku semasa pengalaman mereka kurang dari tiga tahun. Kesimpulannya, dapatan ini menunjukkan kelayakan ikhtisas lebih tinggi dan penglibatan guru-guru tadika swasta dalam pembangunan profesional yang berkaitan memberi kesan signifikan terhadap pengetahuan mereka mengenai KSPK manakala pengalaman adalah nilai tambah kepada guru yang berkelayakan ikhtisas semasa tahun awal pengajaran mereka. Implikasinya, dapatan kajian ini dapat dijadikan panduan dalam pembinaan konsep identiti profesional bagi guru tadika. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |