UPSI Digital Repository (UDRep)
|
![]() |
|
|
Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
Program sistem penalti yang dilaksanakan di sekolah-sekolah merupakan satu kaedah pengurusan disiplin berdasarkan mata penalti bagi setiap kesalahan disiplin pelajar. Kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan yang signifikan antara program sistem penalti dengan pengurusan disiplin konvensional bagi aspek vandalisme, ponteng, datang lewat dan masalah disiplin yang lain. Kajian juga mendapati bahawa program sistem penalti lebih berkesan mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah berbanding dengan program pengurusan disiplin konvensional. Beberapa sekolah dikenal pasti telah menggunakan program sistem penalti bagi mengatasi masalah disiplin pelajar. Namun begitu, program sistem penalti yang digunakan adalah secara manual atau konvensional, dan terdapat masalah yang timbul seperti kos dan masa capaian terhadap maklumat dalam proses pelaksanaannya. Kajian ini bertujuan (i) membangunkan sistem sokongan keputusan (DSS) iaitu sistem My Excellent Potential (My e-MEP) dan (ii) menilai kemudahgunaan sistem My e-MEP dalam aspek persepsi pengguna terhadap dimensi reka bentuk skrin dan dimensi kawalan navigasi. Teori Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM), Teori Rasional dan Teori Perlakuan digunapakai dalam kajian, manakala Metodologi Rapid Application Development (RAD) berasaskan model prototaip digunakan untuk pembangunan My e-MEP. Manakala kajian eksperimental berasaskan satu kajian kes di salah sebuah sekolah di Sabak Bernam dijalankan bagi pengujian sistem. Seramai 30 orang responden kajian dipilih yang terdiri daripada guru tingkatan, kaunselor pelajar dan pengawas untuk pengujian sistem My e-MEP. Instrumen kajian terdiri daripada soal selidik dan dokumen sokongan berupa sistem merit-demerit manual (MEP). Analisis deskriptif dilakukan bagi menilai kemudahgunaan sistem My e-MEP.Secara amnya, sistem My e-MEP yang dibangunkan berjaya membantu pihak pengurusan sekolah dan guru menguruskan merit pelajar dengan lebih efisien dan sistematik. Hasil pengujian kemudahgunaan sistem menunjukkan bahawa pengguna sangat berminat dengan sistem My e-MEP yang mana reka bentuk skrin dan kawalan navigasi dinilai memuaskan oleh pengguna sistem. Dapatan kajian (f=25, %=83.3) menunjukkan sistem ini sangat diperlukan oleh pihak sekolah dalam menentukan merit pelajar dan pengguna suka menggunakan sistem tersebut, manakala dapatan (f=25, %=83.3) menunjukkan reka bentuk skrin sistem dapat mengurangkan beban ingatan pengguna dan teks yang digunakan jelas, bersesuaian dan mengikut saiz yang sepatutnya, dan dapatan (f=24, %=80.0) menunjukkan kawalan butang navigasi membantu pengguna jika berlaku kesilapan. Kajian ini dapat menyumbang terhadap pembangunan sebuah sistem sokongan keputusan penalti yang lebih cekap dan bersistematik serta mempertingkatkan pencapaian akademik, psikomotor dan sahsiah pelajar ke arah yang lebih positif. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |