UPSI Digital Repository (UDRep)
|
![]() |
|
|
Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
Kajian kualitatif ini bertujuan untuk mengenal pasti jenis kesilapan dan strategi yang digunakan oleh pelajar tingkatan dua dalam menyelesaikan masalah berayat matematik. Sampel kajian ini melibatkan 12 orang pelajar pelbagai pencapaian yang dipilih secara teknik pensampelan bertujuan dari sebuah sekolah menengah di Daerah Kuala Selangor dan dikategorikan kepada pelajar berpencapaian cemerlang, baik, sederhana dan lemah. Satu set soalan ujian bertulis dan temu bual semi berstruktur digunakan sebagai instrumen kajian. Jenis kesilapan ditentukan dengan kesilapan langkah kerja pertama yang dilakukan oleh pelajar dalam penyelesaiannya dan diklasifikasikan berdasarkan Prosedur Analisis Kesilapan Newman yang diubahsuai. Jenis-jenis strategi diambil kira berdasarkan strategi yang disyorkan dalam Huraian Sukatan Pelajaran Matematik Tingkatan Dua. Dapatan kajian menunjukkan pelajar secara keseluruhannya adalah lemah dalam menyelesaikan masalah berayat matematik. Pelajar berpencapaian cemerlang dan baik melakukan kebanyakan kesilapan pada peringkat transformasi, pemahaman diikuti oleh pengekodan dan kecuaian. Sebaliknya, pelajar sederhana dan lemah, kebanyakan kesilapan adalah pada peringkat pemahaman dan diikuti dengan kesilapan pada peringkat transformasi. Ini menyebabkan kebanyakan mereka tidak dapat meneruskan penyelesaian ke peringkat seterusnya. Selain itu dapatan kajian juga menunjukkan terdapat enam pendekatan strategi yang dipamerkan oleh pelajar pelbagai pencapaian bagi menyelesaikan masalah berayat iaitu strategi cuba jaya atau teka dan uji, melukis gambar rajah, menggunakan jadual atau senarai sistematik, bekerja dari belakang, kaedah aritmetik dan menggunakan algebra. Secara keseluruhannya didapati pelajar tidak menunjukkan fleksibiliti untuk mencuba lebih dari satu strategi jika strategi yang digunakan tidak berhasil. Hasil kajian ini memberi implikasi kepada para pendidik matematik dan pendidikan di Malaysia khasnya sebagai panduan dalam memberi sumbangan terhadap membina asas menyelesaikan masalah berayat matematik yang kukuh dalam kalangan pelajar. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |