|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian kualitatif ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji dan meneroka serta melihat “Perkembangan Gaya Ilustrasi Komik Konvensional dan Digital di Kalangan Kartunis Malaysia. Kajian kes: kartunis iaitu Uejang, Kerangga dan Sarah Jane”. Kajian juga bertujuan untuk mengenal pasti faktor yang mempengaruhi gaya ilustrasi para kartunis yang berbeza, sebab berlakunya transformasi di dalam gaya ilustrasi serta kesan terhadap kartun ataupun komik Malaysia. Penyelidikan ini juga bertujuan untuk melihat dan menganalisis proses penghasilan komik. Metodologi kajian dimulakan dengan satu kajian keperluan yang telah dijalankan ke atas empat puluh tujuh orang pelajar kolej dalam mendapatkan kesahan dari sudut pengetahuan mengenai kartunis di Malaysia dan gaya dalam ilustrasi komik. Soal selidik dan temu bual dijalankan untuk meneroka kefahaman dan sejauh mana pengetahuan mereka. Kaedah pengumpulan data lain ialah temu bual bersama kartunis, dokumen, rakaman visual dan juga penilaian pakar. Analisis data dijalankan semasa dan selepas data dikumpulkan. Temu bual dipindahkan ke dalam bentuk transkrip sebelum dikategorikan mengikut tema. Analisis dokumen pula dilakukan pada koleksi ilustrasi komik kartunis terpilih dan dikumpulkan daripada komik terawal sehingga yang terkini. Karya terpilih dianalisis menggunakan teori-teori serta model yang terkandung di dalam bab kedua. Hasil daripada rakaman visual disemak keperincian lakaran awal, penghasilan dan juga karya akhir. Hasil daripada dapatan kajian, didapati bahawa perkembangan gaya ilustrasi komik konvensional ke digital melalui proses transformasi yang memberi kesan terhadap kartun mahupun komik di Malaysia. Perkembangan teknologi telah memberi perubahan terhadap hasil karya komik. Setiap karya juga berbeza mengikut individu atau kartunis berdasarkan kepada faktor pengalaman estetika, latar belakang budaya, persekitaran, juga kemahiran yang dikuasai. Gaya ilustrasi komik konvensional dihasilkan dengan kaedah melukis dan mewarnai secara manual, manakala bagi ilustrasi komik digital, tablet grafik dan pen teknikal berupaya menghasilkan lukisan komik. Kajian yang dijalankan ini boleh dikembangkan atau dilanjutkan untuk mendapatkan maklumat dan dapatan yang lebih menyeluruh dengan menambahkan lagi bilangan responden sebagai informan dan gaya ilustrasi juga boleh dikaji dengan mendalam mengenai pengaruh kebudayaan luar dalam penghasilan komik. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |