Hubungan antara keupayaan platform digital, budaya inovasi dan prestasi PKS: kedwicekatan kontekstual sebagai pengantaraan dan kapasiti penyerapan sebagai penyederhanaan
Hubungan antara keupayaan platform digital, budaya inovasi dan prestasi PKS: kedwicekatan kontekstual sebagai pengantaraan dan kapasiti penyerapan sebagai penyederhanaan
Type
Thesis
Main Author
Mohamad Rohieszan Ramdan
Subject
HF5601 Accounting
Language Code
zsm
Bibliographic Details
Place of Production
Tanjong Malim
Publisher
Fakulti Pengurusan dan Ekonomi
Year of publication
2022
Notes
with CD
Degree Type
Doctoral
Corporate Name
Perpustakaan Tuanku Bainun
Abstract
Teknologi digital dan inovasi telah memberi peluang yang besar kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk terus kekal berdaya saing. Walau bagaimanapun, kekurangan sumber dan keupayaan telah menghalang PKS untuk merebut peluang ini. Berdasarkan Teori Berasaskan Sumber (RBT) dan Teori Keupayaan Dinamik (DC) serta didukung oleh Teori Pembelajaran Organisasi (OL), halangan ini dapat diatasi dengan melaksanakan kedwicekatan kontekstual bagi memaksimumkan keupayaan platform digital dan merealisasikan budaya inovasi. Namun begitu, terdapat firma yang menghadapi gangguan ketidakseimbangan kedwicekatan kontekstual, dan ini memerlukan kapasiti penyerapan sebagai pemangkin untuk meningkatkan prestasi PKS. Secara spesifiknya, kajian ini bertujuan untuk mengkaji (a) hubungan antara budaya inovasi dan prestasi PKS (b) peranan kedwicekatan kontekstual sebagai pengantaraan dalam hubungan antara keupayaan platform digital dan prestasi PKS (c) peranan kedwicekatan kontekstual sebagai pengantaraan dalam hubungan antara budaya inovasi dan prestasi PKS; dan (d) peranan kapasiti penyerapan sebagai penyederhanaan dalam hubungan tidak langsung antara keupayaan platform digital dan budaya inovasi terhadap prestasi PKS menerusi kedwicekatan kontekstual sebagai pengantaraan. Bagi menguji kerangka kajian yang dicadangkan, kajian ini mengambil pendekatan positivisme, deduktif, dan kuantitatif. Data telah dikumpul daripada sampel yang terdiri daripada 300 buah firma PKS di negeri Selangor melalui teknik pensampelan bertujuan. Namun, hanya 277 buah firma PKS sahaja yang digunakan sebagai analisis sebenar setelah membuat analisis awalan. Model Persamaan Berstruktur Kovarians menunjukkan bahawa budaya inovasi dan kedwicekatan kontekstual mempunyai kaitan secara langsung dengan prestasi PKS, begitu juga dengan keupayaan platform digital dan budaya inovasi berkait secara langsung dengan kedwicekatan kontekstual. Dalam aspek hubungan secara tidak langsung, dapatan menunjukkan bahawa kedwicekatan kontekstual berupaya menjadi pengantaraan dalam hubungan antara keupayaan platform digital dan prestasi PKS, begitu juga dalam hubungan antara budaya inovasi dan prestasi PKS. Seterusnya, analisis PROCESS macro menunjukkan kapasiti penyerapan berupaya menjadi penyederhanaan pengantaraan dalam hubungan tidak langsung menerusi kedwicekatan kontekstual. Kajian ini secara teorinya menyumbang kepada ilmu bidang pengurusan menerusi satu kerangka kajian secara menyeluruh didasari oleh RBT, DC, dan OL untuk memberikan penjelasan yang lebih holistik tentang bagaimana firma bertindak dalam meningkatkan prestasi PKS. Di samping itu juga, kajian ini menunjukkan mekanisme kedwicekatan kontekstual sebagai suatu keupayaan dinamik dalam memahami hubungan antara keupayaan platform digital dan prestasi PKS dan hubungan antara budaya inovasi dan prestasi PKS. Akhir sekali, kajian ini menjelaskan kepentingan kapasiti penyerapan dalam menerangkan hubungan antara kedwicekatan kontekstual dan prestasi PKS. Secara praktikalnya, kajian ini memberikan maklumat kepada pengurusan firma bahawa PKS perlu mengeksploitasi keupayaan dinamik yang mereka miliki dengan memaksimumkan keupayaan platform digital dan budaya inovasi dalam meningkatkan prestasi firma, di samping meningkatkan pengetahuan menerusi kedwicekatan kontekstual dan kapasiti penyerapan untuk mencapai prestasi firma yang lebih mapan dan lestari.
Installed and configured by Bahagian Automasi, Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris
If you have enquiries, kindly contact us at pustakasys@upsi.edu.my or 016-3630263. Office hours only.