UPSI Digital Repository (UDRep)
|
![]() |
|
|
Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
Kemahiran sistem anggaran nombor merupakan kemahiran yang sedia wujud dalam diri kanak-kanak dan merupakan asas penting dalam penguasaan kemahiran matematik yang lain. Banyak kajian di luar negara telah membuktikan bahawa kanak-kanak pada usia 3 sehingga 6 tahun mempunyai kemahiran ini dan paling menariknya, kecekapan mereka dalam kemahiran sistem anggaran nombor ini mempunyai hubungan dengan peningkatan pencapaian dalam kemahiran matematik, di samping dapat meramal pencapaian mereka dalam matematik pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, kajian terhadap penguasaan kanak-kanak dalam kemahiran sistem anggaran nombor ini tidak ada lagi dijalankan di Malaysia. Maka, kajian ini dijalankan bagi mengkaji kemahiran kanak-kanak 4 tahun dengan memfokuskan aspek penguasaan, strategi dalam kemahiran sistem anggaran nombor, dan faktor-faktor yang mempengaruhi kemahiran sistem anggaran nombor kanak-kanak. Bagi tujuan itu, kajian kualitatif dengan reka bentuk kajian kes telah digunakan sebagai pendekatan kajian, dan seramai 6 orang kanak-kanak 4 tahun telah dipilih sebagai sampel kajian. Teknik pensampelan bertujuan berstrata, dan teknik judgement sampling telah digunakan dalam kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penguasaan kanak-kanak 4 tahun dalam kemahiran sistem anggaran nombor ini telah mencapai pada tahap skor penguasaan telah menguasai dan munculnya tiga elemen keupayaan kanak-kanak dalam kemahiran sistem anggaran nombor ini. Tiga elemen keupayaan ini ialah keupayaan menentukan yang mana yang paling banyak, keupayaan menjelaskan mengapa paling banyak, dan keupayaan membezakan yang mana yang banyak dan mana yang sedikit. Selain itu, kajian ini mendapati lima strategi dalam kemahiran sistem anggaran nombor yang digunakan oleh kanak-kanak 4 tahun, dan terdapat dua faktor yang mempengaruhi kemahiran sistem anggaran nombor kanak-kanak 4 tahun ini. Secara kesimpulannya, kanak-kanak 4 tahun ini telah menguasai kemahiran sistem anggaran nombor dengan sangat baik. Rentetan itu, kajian masa depan boleh memfokuskan kajian terhadap aspek yang sama dengan melibatkan pelbagai tahap umur kanak-kanak atau kajian melibatkan populasi kajian yang pelbagai. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |