UPSI Digital Repository (UDRep)
|
![]() |
|
|
Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
Kajian ini bertujuan mengkaji keberkesanan Kalkulator Grafik (KG) bersama Kalkulator Asas Makmal (KAM) dalam pembelajaran biologi tingkatan empat bagi topik Nutrisi, Respirasi dan Ekosistem Dinamik. Kaedah eksperimental digunakan dan seramai 60 orang pelajar tingkatan empat aliran sains dari sebuah sekolah di Kuala Lumpur telah dipilih sebagai sampel dalam kajian ini. Sampel dibahagikan sama ramai kepada dua kumpulan iaitu kumpulan rawatan kumpulan kawalan. Kumpulan rawatan menggunakan KG bersama KAM semasa menjalankan eksperimen, manakala kumpulan kawalan menggunakan radas makmal secara konvensional dan tidak menggunakan KG bersama KAM. Dua instrumen digunakan dalam kajian ini iaitu set ujian pra dan ujian pos, serta soal selidik. Set ujian pra dan ujian pos digunakan untuk mengukur perbezaan pencapaian biologi manakala soal selidik digunakan untuk mendapatkan persepsi dan penerimaan pelajar tentang penggunaan KG bersama KAM. Data yang terkumpul diuji dengan ujian statistik inferensi iaitu ujian-t untuk membandingkan pencapaian pelajar. Statistik deskriptif digunakan untuk menganalisis dapatan daripada soal selidik dan maklumat yang diperolehi daripada soal selidik soalan terbuka dianalisis secara naratif. Dapatan kajian menunjukkan penggunaan KG bersama KAM telah memberikan kesan positif yang signifikan. Melalui soal selidik soalan terbuka juga pelajar sekali lagi menyatakan persetujuan mereka bahawa penggunaan KG bersama KAM adalah mudah dan menjimatkan masa. Pelajar serta guru didedahkan kepada teknologi moden bila mereka menggunakan KG bersama KAM dalam pembelajaran di kelas yang menghasilkan peningkatan minat murid dalam sains dan melibatkan pelajar berfikir dengan lebih mendalam. Penggunaan KG bersama KAM haruslah diterokai oleh semua guru sebagai menyokong usaha Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menggalakkan pembelajaran berbantukan teknologi. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |