|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti pola kesantunan berbahasa dalam posisi yang diduduki oleh penanda pragmatik ya dan fungsi penanda pragmatik ya berdasarkan makna pragmatik berasaskan Kerangka Amalgamasi Santun. Selain itu, tujuan kajian ini dilakukan untuk memperlihatkan kesan kehadiran penanda pragmatik ya terhadap daya ilokusi lakuan tuturan. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif berasaskan analisis kandungan rakaman rancangan wawancara di televisyen, iaitu Selami Jiwa bertajuk Pasangan Kuat Merajuk. Saiz korpus adalah sebanyak 3589 perkataan dengan kehadiran 110 penanda pragmatik ya. Instrumen kajian yang digunakan bagi mencapai objektif ialah senarai semak dan jadual pencerapan. Selain itu, perisian AntConc. 3.5.8 digunakan untuk memproses data dalam bentuk konkordans yang seterusnya ditranskripsikan sebelum dianalisis. Kerangka Amalgamasi Santun yang menggabungkan Prinsip Kerjasama Grice (1975), Prinsip Kesantunan Leech (1983, 2014) dan Strategi Kesantunan Brown dan Levinson (1987) diaplikasikan bagi menganalisis data. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penanda pragmatik ya hadir dalam 18 pola teras amalgamasi santun menerusi Kerangka Amalgamasi Santun. Selain itu, penanda pragmatik ya juga didapati hadir menerusi tiga taksonomi lakuan tuturan yang dianjurkan oleh Searle (1969), iaitu lakuan asertif (41.82%), lakuan direktif (48.18%) dan lakuan ekspresif (10.00%). Secara umumnya, penanda pragmatik ya didapati berperanan sebagai intensifier yang menguatkan daya ilokusi lakuan tuturan asertif dan ekspresif. Penanda pragmatik ya juga didapati berperanan sebagai mitigator yang melemahkan daya ilokusi lakuan ancaman muka direktif. Secara khususnya, berasaskan Kerangka Amalgamasi Santun, sejumlah 16 fungsi interpersonal penanda pragmatik ya dapat diserlahkan. Jelasnya, kajian ini diyakini memberi nilai tambah menerusi dapatan baharu dalam mendeskripsi fungsi penanda pragmatik ya sebagai peranti kesantunan berbahasa menerusi mod interaksional dan mod sikap. Turut sama penting, Kerangka Amalgamasi Santun didapati berupaya menyerlahkan fungsi penanda pragmatik ya yang autentik dengan pendeskripsian secara teoretikal. Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan kehadiran penanda pragmatik ya semasa berinteraksi turut menyumbang sebagai salah satu nilai santun berbahasa yang wujud dalam bahasa Melayu. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |