|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini melibatkan pembangunan dan pengujian soalan-soalan yang membentuk ConcepTests bagi topik mekanik kursus fizik asas di UPSI. ConcepTests yang dibangunkan dan diuji ialah soalan objektif aneka pilihan yang boleh digunakan sebagai alat menaksir kefahaman pelajar semasa sesi kuliah. ConcepTests bagi tujuan kajian ini merangkumi topik dalam bidang mekanik mengikut sukatan kandungan kursus TFA1014 Physics 1 yang ditawarkan kepada pelajar fizik semester satu.Bagi menguji kesahan soalan, beberapa kriteria ditetapkan iaitu (i) setiap satu soalan memfokus kepada satu konsep fizik sahaja, (ii) soalan perlu berbentuk kualitatif, iaitu pelajar tidak perlu menggunakan formula atau persamaan matematik apabila menjawab soalan tersebut, (iii) soalan perlu berupaya mencungkil miskonsepsi pelajar tentang sesuatu konsep fizik dengan mempunyai pilihan jawapan yang mencukupi, dan (iv) soalan menggunakan bahasa yang jelas.Di peringkat awal, 61 soalan yang dibangunkan adalah dalam bentuk soalan respons terbuka yang disahkan kandungannya oleh empat orang ahli akademik fizik terpilih. Mereka turut mengesahkan soalan berdasarkan semua kriteria yang ditetapkan. Hasilnya, 55 soalan respons terbuka ditadbir pula kepada sekumpulan 68 orang pelajar kursus pengenalan fizik bagi mendapatkan pengganggu di samping beberapa pengganggu lain yang didapati daripada literatur.Soalan respons terbuka beserta pengganggu tersebut diolah dalam bentuk soalan aneka pilihan dan ditadbir sekali lagi kepada sekumpulan 33 orang pelajar fizik tahun akhir bagi menguji sama ada soalan yang dibina itu memenuhi kriteria kejelasan bahasa. Akhirnya, soalan-soalan yang telah disahkan ini dikumpul bagi membentuk satu koleksi soalan ConcepTests yang siap sedia digunakan oleh mana-mana pensyarah fizik bagi mengajar topik mekanik kursus asas fizik di peringkat universiti. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |