|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Murid masalah pembelajaran (MP) dengan kefungsian rendah dikaitkan dengan lemah melakukan pergerakan motor yang bermakna seperti kecekatan tangan (KT). Perlaksanaan intervensi permodelan video (PV) disokong untuk membantu meningkatkan KT dalam kalangan murid masalah pembelajaran (MP) kefungsian rendah. Walaubagaimanapun, perlaksanaan intervensi PV masih belum diperluaskan di Malaysia, khususnya dalam suasana bilik darjah untuk membantu meningkatkan KT murid MP kefungsian rendah. Begitu juga, setakat ini, kajian mengenai perlaksanaan PV masih tiada dijalankan di Malaysia. Sehubungan dengan itu, objektif kajian ini adalah untuk membangunkan sebuah modul yang menggunakan intervensi PV, dinamakan sebagai Modul Permodelan Video (MPV) dan menilai keberkesanan MPV terhadap prestasi KT dan aktiviti harian (AH) murid MP kefungsian rendah di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Pendekatan kajian reka bentuk dan pembangunan (DDR) telah digunakan dimana terdapat tiga fasa dalam proses pembangunan MPV dengan menerapkan model ADDIE. Fasa satu adalah fasa analisis yang menggunakan kajian kualitatif. Fasa ini telah menggunakan kaedah temubual bersama Guru Pendidikan Khas (GPK) dan dianalisis secara analisis tematik. Hasil dapatan kajian fasa satu telah mendapati MPV boleh dibangunkan untuk murid MP kefungsian rendah untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Komponen Kemahiran Manipulatif bagi meningkatkan KT. Fasa dua adalah fasa reka bentuk dan pembangunan dimana kesahan kandungan MPV dijalankan melalui indeks kesahan kandungan (CVI). MPV telah mencapai kesepakatan pakar yang tinggi, iaitu 100% persetujuan dicapai bersama sembilan pakar yang terdiri daripada pelbagai bidang. Seterusnya, fasa tiga (peringkat pertama) adalah fasa implementasi dan penilaian MPV yang dijalankan secara kajian kualitatif. Kajian kebolehlaksaan dijalankan dengan menemubual murid MP kefungsian rendah yang menggunakan MPV dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Komponen Kemahiran Manipulatif. Hasil dapatan kajian yang dianalisis secara analisis tematik telah mendapati MPV boleh dilaksanakan untuk murid MP kefungsian rendah dalam proses pengajaran dan pembelajaran Komponen Kemahiran Manipulatif. Fasa tiga (peringkat kedua) adalah kajian kuantitatif yang menggunakan kajian reka bentuk kuasi-experimental. Hasil keputusan ujian ANOVA dua hala tercampur menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan kesan interaksi skor kecekatan tangan kiri F(1,32), p=0.04, _p2=0.13, skor kedua tangan F(1,32), p=0.004, _p2=0.23, skor kecekatan tangan kanan, kiri dan kedua tangan F(1,32), p=0.00, _p2=0.24, skor pemasangan F(1,32), p=0.01, _p2=0.18, dan skor AH F(1,32), p=0.001, _p2=0.28 selepas menerima intervensi MPV. Tidak terdapat perbezaan yang signifikan kesan interaksi skor kecekatan tangan kanan F(1,32), p=0.32, _p2=0.03 selepas menerima intervensi MPV. Secara keseluruhannya, intervensi MPV dapat meningkatkan KT dan AH secara signifikan dalam Kumpulan Rawatan. Diharapkan, MPV yang dibangunkan dalam kajian ini yang mengggunakan intervensi PV untuk meningkatkan KT dapat dimanfaatkan untuk murid MP kefungsian rendah di PPKI. Kajian ini memberi implikasi kepada pengetahuan teoritikal, polisi (Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia), murid MP kefungsian rendah dan profesion terapi carakerja. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |