|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian kualitatif kes tunggal ini bertujuan meneroka amalan interaksi sosial pengajaran guru aliran perdana dalam Pendidikan Inklusif. Justeru, kajian ini dijalankan untuk meneroka amalan interaksi sosial pengajaran guru aliran perdana dalam Pendidikan Inklusif menerusi tiga persoalan utama iaitu: (1) Bagaimanakah kesediaan interaksi sosial dalam pengajaran guru aliran perdana menerusi Pendidikan Inklusif di sekolah menengah? (2) Apakah cabaran yang mempengaruhi amalan interaksi sosial dalam pengajaran guru aliran perdana menerusi Pendidikan Inklusif di sekolah menengah? dan (3) Bagaimanakah strategi untuk menangani cabaran interaksi sosial dalam pengajaran guru aliran perdana menerusi Pendidikan Inklusif di sekolah menengah? Kajian dijalankan di sebuah sekolah menengah di Selangor melibatkan sepuluh orang peserta kajian menggunakan instrumen protokol temu bual, senarai semak pemerhatian dan senarai semak analisis dokumen. Sebanyak 10 kali sesi temu bual dan 30 sesi pemerhatian dilaksanakan sehingga mencapai ketepuan data. Proses pengumpulan data mengambil masa hampir enam bulan. Kesahan dan kebolehpercayaan data dinilai melalui kajian rintis, triangulasi data, pengesahan peserta kajian, catatan nota lapangan serta nilai indeks persetujuan Cohen Kappa daripada tiga orang panel pakar iaitu 0.91. Data kualitatif dianalisis menggunakan pendekatan tematik. Perisian komputer dijadikan alat menyusun tema dan subtema melalui koding terbuka dan dipersembahkan secara naratif. Hasil kajian mendapati amalan interaksi sosial guru aliran perdana dalam pengajaran meliputi aspek persediaan, perancangan menangani cabaran serta pelaksanaan strategi menangani cabaran dalam Pendidikan Inklusif. Sejumlah dua belas tema ditemukan, masing-masing empat dalam kategori kesediaan, empat dalam kategori cabaran dan empat dalam kategori strategi. Satu tema baharu ditemui iaitu sokongan sosial melibatkan murid tipikal, rakan sekerja dan pentadbir. Dapatan kajian ini memberi impak ke atas perkembangan ilmu dan teori serta institusi pendidikan serta memberi nilai tambah kepada pemegang taruh dalam Pendidikan Inklusif, sorotan literatur serta penghasilan suatu idea model interaksi sosial bagi menyokong pengajaran guru aliran perdana. Pengkaji akan datang disarankan menggunakan kaedah penyelidikan berbeza. Akhir sekali, kajian ini mendukung aspirasi Pendidikan Inklusif dalam menyediakan akses pendidikan tanpa diskriminasi. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |