|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Tujuan kajian ini adalah untuk membangunkan sebuah model Pintar Tajwid Haraki (PiTaH) yang berasaskan Total Physical Resoponse (TPR) bagi meningkatkan penguasaan tilawah al-Quran dalam kalangan mualaf. Kaedah kajian ini menggunakan pendekatan reka bentuk dan pembangunan (DDR) melalui tiga fasa. Fasa pertama bertujuan untuk menganalisa keperluan pembangunkan model. Kajian pada fasa ini menggunakan kaedah tinjauan kepada 310 guru al-Quran dari sudut pengetahuan, emosi dan fizikal pelajar. Data dianalisa menggunakan SPSS 22.0 Dapatan kajian fasa ini menunjukkan persetujuan respondan tentang keperluan membangunkan model sangat tinggi dengan min 4.67. Fasa kedua bertujuan untuk mereka bentuk dan pembangunan model. Pengkaji menggunakan kaedah Nominal Group Technique (NGT) dan Interpretive Structural Modelling (ISM). Sampel kajian terdiri dari sebelas orang pakar profesional dan pakar lapangan. Hasil konsensus pakar terdapat 25 elemen aktiviti TPR yang telah dipilih untuk dimasukkan ke dalam perisian Concept Star. Dapatan kajian fasa ini telah menghasilkan sebuah prototaip model PiTaH. Manakala fasa ketiga iaitu fasa kebolehgunaan model. Seramai 23 orang guru al-Quran mualaf dipilih untuk menilai kebolehgunaan model. Kaedah yang digunakan pada fasa ini adalah kaedah Fuzzy Delphi (FDM). Hasil analisis menunjukkan semua pakar dalam kajian ini sangat bersetuju terhadap semua elemen, dimensi dan keseluruhan model PiTaH. Model PiTaH ini sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tilawah al-Quran mualaf. Kesimpulannya, menjadi satu keperluan untuk membangunkan model PiTaH menggunakan elemen TPR dalam pedagogi tilawah al- Quran mualaf. Pergerakan anggota badan dalam pembelajaran al-Quran menjadikan sesi pengajaran tilawah aktif dan berpusatkan murid di samping mengekalkan konsep talaqi musyafahah yang menjadi asas dalam pembelajaran tilawah al-Quran. Kaedah TPR ini selari dengan perkembangan sistem pendidikan abad ke-21. Implikasi kajian, dapat membantu agensi yang terlibat dengan mualaf menyusun sukatan pelajaran dan modul pembelajaran tilawah al-Quran mualaf dan secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan tilawah al-Quran dalam kalangan mualaf. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |