|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini adalah tentang penglibatan wanita dalam perkembangan pendidikan untuk kaum wanita di Sarawak pada tahun 1930-1963. Dalam kebanyakan penulisan sejarah pendidikan di Sarawak, tokoh wanita Barat seperti Hariette McDougall, Margaret Brooke, dan Mary Hoover sering diangkat sebagai pelopor pembangunan pendidikan masyarakat, manakala peranan wanita tempatan sering diketepikan. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk menyelidiki usaha wanita tempatan dalam memajukan pendidikan masyarakat, khususnya bagi kaum wanita di Sarawak. Penyelidikan ini dijalankan dengan menggunakan kaedah kualitatif dengan menganalisis sumber primer dan sekunder yang terdiri daripada fail, rekod, surat, laporan, akhbar, buku, jurnal dan tesis. Selain itu, temu bual juga dilakukan dengan beberapa orang responden terpilih. Hasil kajian mendapati wanita Sarawak khususnya golongan wanita yang berpendidikan turut memainkan peranan penting dalam perkembangan pendidikan masyarakat khususnya wanita menerusi usaha mereka mengasaskan persatuan wanita, menubuhkan sekolah, membuat lawatan ke kawasan pedalaman serta sentiasa membangkitkan isu pendidikan. Tindakan wanita Sarawak ini memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pendidikan kepada kaum wanita. Dapatan kajian juga menunjukkan, terdapat cabaran yang perlu dihadapi dalam memajukan pendidikan wanita di Sarawak dengan sikap dan penerimaan masyarakat terhadap pendidikan wanita, kekurangan infrastruktur pendidikan, masalah sistem perhubungan dan pengangkutan, masalah kewangan dan kemiskinan, kelemahan kurikulum, dasar pendidikan kerajaan serta masalah kekurangan guru terlatih. Cabaran ini sedikit sebanyak menghambat usaha mereka dalam memajukan pendidikan wanita. Kesimpulannya, pendidikan wanita Sarawak masih lagi mundur namun mula berkembang secara perlahan-lahan dan meninggalkan kesan positif kepada kehidupan kaum wanita di Sarawak iaitu berlaku peningkatan bilangan pelajar perempuan secara konsisten setiap tahun serta kesan terhadap peluang pekerjaan, fesyen dan penampilan serta kesan terhadap politik wanita. Implikasi kajian ini menekankan kepentingan mengenali sumbangan wanita tempatan dalam pendidikan, yang selama ini kurang diberi perhatian serta meningkatkan penghargaan terhadap peranan wanita tempatan berbanding hanya menyanjung sumbangan wanita Barat. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |