|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan untuk membangun dan menilai modul CoSpaces Edu Bagi pengajaran kosa kata Bahasa Inggeris dalam kalangan guru sekolah rendah dengan menggunakan Pendekatan Reka Bentuk dan Pembangunan (DDR) yang melibatkan tiga fasa. Fasa pertama iaitu analisis keperluan melibatkan seramai 248 guru Bahasa Inggeris dari daerah Kuala Muda. Fasa ini dilaksanakan menggunakan kaedah tinjauan melalui soal selidik untuk mengenal pasti keperluan dalam pembangunan modul serta elemen-elemen yang perlu disertakan dalam modul. Dapatan fasa pertama dengan min purata sebanyak 4.2 menunjukkan wujudnya keperluan untuk pembangunan modul CoSpaces Edu dan keperluan untuk memasukkan tujuh elemen iaitu pengenalan, objektif, panduan penggunaan, teknologi realiti maya, panduan umum CoSpaces Edu, panduan menggunakan bahan aplikasi realiti maya (CoSpaces Edu) dan panduan pembangunan bahan aplikasi realiti maya (CoSpaces Edu) seperti yang disarankan berdasarkan Struktur Modul Henson. Seterusnya fasa kedua iaitu fasa reka bentuk dan pembangunan melibatkan lima orang pakar untuk mendapatkan konsensus dengan menggunakan soal selidik Fuzzy Delphi Method (FDM). Dapatan dari fasa ini dengan skor fuzzy melebihi 0.5 dan peratus kesepakatan pakar melebihi 75%, menunjukkan konsensus pakar terhadap tujuh elemen seperti yang disarankan dalam fasa pertama. Berikutnya, modul CoSpaces Edu dihasilkan untuk penilaian guru pada fasa terakhir iaitu fasa penilaian. Pada fasa ini, seramai 30 guru ketua panitia Bahasa Inggeris terlibat dalam menilai kemudahgunaan dan kebolehgunaan modul yang dihasilkan. Hasil dapatan dengan min purata 4.71 (SP=0.310) menunjukkan tahap kemudahgunaan dan kebolehgunaan berada pada tahap yang tinggi terhadap penggunaan modul CoSpaces Edu. Implikasinya, pembangunan modul ini menjadi panduan asas kepada guru-guru Bahasa Inggeris bagi menjalankan aktiviti pengajaran dengan mengaplikasikan teknologi realiti maya. Melalui pembangunan sumber instruksional yang mengintegrasikan teknologi realiti maya, ia mampu meningkatkan kualiti penyampaian pendidikan dalam kalangan guru-guru khususnya dalam memastikan pelaksanaan Pendidikan Abad Ke 21 tercapai. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |