|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan untuk menilai tahap simptom stres, depresi, kebimbangan, dan trauma dalam kalangan kanak-kanak mangsa penderaan seksual. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk menilai kesan kaunseling individu REBT-NIS terhadap stres, depresi, kebimbangan, dan trauma, serta meneroka simptom-simptom trauma dalam bentuk emosi dan tingkah laku mereka. Kajian ini menggunakan kaedah kuasi eksperimen berbentuk siri masa untuk melaksanakan rawatan kaunseling individu terhadap 10 orang kanak-kanak mangsa penderaan seksual yang dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan. Instrumen Child Post-Traumatic Stress Disorder (CPSS) dan Depression Anxiety Stress Scale (DASS-42) digunakan untuk mengumpul data kajian. Data kuasi eksperimen dianalisis secara deskriptif manakala data temu bual dianalisis secara tematik. Dapatan kajian berdasarkan DASS-42 sebelum rawatan menunjukkan kesemua kanak-kanak mangsa penderaan seksual melaporkan tahap stres pada tahap parah skor (26-33) dan sangat parah skor (34 ke atas); depresi pada tahap sederhana skor (14-20) hingga sangat parah skor (28 ke atas); kebimbangan pada tahap ringan skor (8-9) hingga sangat parah skor (20 ke atas); dan skor CPSS untuk trauma berada pada tahap sangat parah, iaitu dengan skor 61 ke atas. Setelah 4 minggu rawatan, tahap stres menurun ke tahap sederhana iaitu julat skor 19 hingga 25, depresi menurun ke tahap sederhana dengan julat skor 14-20; kebimbangan menurun ke tahap sederhana dengan julat skor 10-14; dan trauma menurun dari tahap sangat parah ke tahap ringan dengan julat skor 11-20. Selepas 8 minggu rawatan, semua gejala terus menurun ke tahap minimal, dengan julat skor stres 0-18, depresi 0-9, kebimbangan 0-7, dan trauma 0-10. Dapatan analisis tematik turut menyokong keberkesanan REBT-NIS melalui tujuh tema utama iaitu pengawalan diri yang positif, peningkatan resiliensi dan daya adaptasi, penglibatan diri dalam aktiviti sosial, berserah diri kepada Allah, keikhlasan, memaafkan, dan percaya pada qada dan qadhar. Kesimpulan daripada kajian ini menunjukkan rawatan REBT-NIS telah memberikan perubahan positif yang signifikan dalam kesejahteraan psikologi kanak-kanak. Implikasi kajian menunjukkan intervensi REBT boleh diintegrasikan dengan nilai-nilai agama berdasarkan konteks budaya klien serta digunakan sebagai alternatif intervensi bagi kaunselor atau terapi yang mengendalikan kes penderaan seksual._ |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |