|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian kualitatif ini bermatlamat untuk memahami pelaksanaan pendekatan didik hibur berasaskan program nyanyian lagu nasihat ke arah pembentukan sahsiah baik murid di Sekolah Rendah Al-Hidayah, Ipoh, Perak. Reka bentuk pendekatan kajian kes digunakan dalam penyelidikan bagi meneroka pengalaman sebenar daripada perspektif peserta dengan penumpuan lebih daripada satu kes. Bagi tujuan itu, Teori Pelaziman Operan digunakan untuk memahami konsep pembentukan sahsiah murid di lapangan. Sejumlah 12 orang yang terdiri daripada dua orang pentadbir sekolah, empat orang guru, dan enam orang murid telah bersetuju untuk menjadi peserta kajian. Selain temu bual, proses pemerhatian dan analisis dokumen turut dijalankan bagi menyokong kesahan data kajian menerusi triangulasi. Seterusnya, pendekatan analisis tematik oleh Braun dan Clarke digunakan untuk mengekod dapatan temu bual. Proses interpretasi pula dilakukan terhadap perolehan pemerhatian bagi menyokong maklumat temu bual peserta. Manfaat daripada interpretasi analisis dokumen program turut memberi pengukuhan terhadap dapatan kajian. Hasil analisis dapatan telah menemukan tiga tema utama bagi menjawab tiga soalan kajian. Pertama, tema pelaksanaan menunjukkan perubahan positif dalam pembentukan sahsiah murid menerusi kesinambungan penerapan aktiviti nyanyian lagu-lagu nasihat. Kedua, tema strategi menghuraikan usaha guru dalam memberi bimbingan dan inisiatif galakan berterusan untuk mencapai objektif pembinaan tingkah laku murid. Ketiga, tema faktor kejayaan menjelaskan keupayaan program didik hibur sebagai pendorong kepada murid untuk membentuk perilaku baik. Kesimpulannya, dapatan kajian menunjukkan kekuatan penggunaan elemen lagu berjaya memberi rangsangan positif kepada amalan sahsiah murid. Dalam erti kata lain, murid didapati cenderung berkelakuan baik apabila pembelajaran yang menyeronokkan menerusi pendekatan nyanyian lagu-lagu nasihat dilaksanakan bersama guru. Implikasinya, konsep dan keunikan program didik hibur ini adalah wajar diketengahkan sebagai strategi alternatif pembinaan sahsiah murid, khususnya di peringkat sekolah rendah. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |