|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini membincangkan amalan penggunaan tumbuhan herba dalam dimensi perubatan tradisional Melayu bagi mendiagnosis ketidakseimbangan akhlat yang dialami oleh tubuh manusia. Akhlat yang tidak seimbang akan menghasilkan cairan yang mengalir ke bahagian badan seperti balghami (lendir atau tumbesaran tubuh), dammi (darah), safrawi (hempedu kuning), dan sawdawi (limpa atau hempedu hitam). Kajian lalu terbatas dalam mendeskripsikan leksis tumbuhan herba kurang merujuk budaya tradisi masyarakat penutur dan tidak begitu berfokuskan perspektif etnosemantik. Kajian ini berupaya mengeksplorasi konteks makna tumbuhan herba dalam perubatan tradisional Melayu berasaskan kerangka etnosemantik. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk (i) menghuraikan identiti tumbuhan herba menerusi unsur mizaj dalam mencapai keseimbangan akhlat berdasarkan konteks makna berasaskan kerangka etnosemantik; (ii) menganalisis profil dataset penggunaan tumbuhan herba menerusi analisis leksis dalam mencapai keseimbangan akhlat berasaskan kerangka etnosemantik; dan (iii) mengenal pasti identiti inteligensia perubatan tradisional Melayu menerusi leksis tumbuhan herba. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dengan melibatkan data korpus daripada manuskrip Kitab Perubatan Melayu Al-Rahmah fi-al-Tibb wa al-Hikmah, menggunakan kaedah analisis kandungan berpandukan Teori Alfa Konseptual (Kawalya & De Schryver, 2013) berasaskan Kerangka Etnosemantik berbantukan perisian #LancsBox 6.0. Hasil kajian ini mendapati bahawa beberapa penyakit manusia yang didiagnosis menerusi penggunaan herba halia, delima, buah mil dan bawang merah mempunyai hubungan dengan tabi_ah, unsur, cecair akhlat/khilt dan mizaj yang membentuk i_tidal. Seterusnya, identiti tumbuhan herba halia, delima, buah mil dan bawang merah didapati masing-masingnya memiliki unsur mizaj, iaitu hangat kering, sejuk basah, sejuk kering dan hangat basah dalam mencapai keseimbangan akhlat. Selain itu, identiti inteligensia perubatan tradisional Melayu menerusi leksis tumbuhan herba tersebut diserlahkan melalui sukatan/timbangan; aturan dan pantang larang; kaedah penyediaan bahan dan rawatan; dan remedi materia medica yang digunakan oleh masyarakat terdahulu. Jelasnya, kajian ini mempunyai implikasi yang signifikan dalam pengubatan penyakit yang terpiawai menerusi penggunaan herba sebagai metodologi perubatan tradisional Melayu sehingga menyerlahkan inteligensia masyarakat Melayu terdahulu dan boleh dipraktikkan dalam perubatan moden secara integratif. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |