|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan untuk membangunkan Modul NeoMath yang mengintegrasikan Matematik, Pendidikan Jasmani, dan Pendidikan Seni Muzik. Seterusnya, mengenal pasti keberkesanan modul ini terhadap minat dan pencapaian Matematik bagi murid tahun dua. Kajian ini menggunakan reka bentuk dan pembangunan (Design and Development Research, DDR) dengan model ADDIE sebagai panduan dalam fasa pembangunan modul. Pada fasa pertama, kajian perpustakaan dijalankan untuk menganalisis keperluan kajian. Seterusnya, Modul NeoMath dibangunkan menggunakan model ADDIE pada fasa kedua. Pada fasa ketiga, kajian tinjauan terhadap 34 guru dan 30 murid telah dilaksanakan untuk menilai kebolehgunaan modul. Pada masa yang sama, kajian kuasi eksperimen dijalankan melibatkan 60 murid dari sebuah sekolah di Melaka yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Responden telah menjalani ujian pra sebelum kajian dan ujian pasca untuk menilai pencapaian Matematik dalam topik Nombor Bulat. Data dianalisis secara analisis deskriptif (kekerapan, peratusan, min, sisihan piawai) dan inferensi menggunakan Analisis ANCOVA bagi ujian NeoMath. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Modul NeoMath memperoleh skor kesahan 0.89, yang diklasifikasikan sebagai memuaskan. Analisis kebolehgunaan pula menunjukkan Modul NeoMath mempunyai kebolehgunaan yang memuaskan pada guru dan murid dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik. Dapatan juga menunjukkan peningkatan minat murid terhadap Matematik selepas menggunakan Modul NeoMath. Walau bagaimanapun, analisis ANCOVA menunjukkan tiada perbezaan pencapaian yang signifikan antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Hal ini menggambarkan bahawa modul ini tidak memberikan impak yang besar terhadap peningkatan pencapaian murid dalam ujian Matematik bagi topik Nombor Bulat. Kesimpulannya, Modul NeoMath terbukti berkesan dalam meningkatkan minat murid terhadap Matematik dan boleh dijadikan sebagai bahan bantu pengajaran yang mempunyai ciri elemen merentasi kurikulum yang menarik dalam bilik darjah. Walaupun tidak menunjukkan peningkatan signifikan dalam pencapaian akademik, integrasi mata pelajaran Matematik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Seni Muzik yang digunakan menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan. Implikasi kajian ini adalah murid dapat menerokai pembelajaran dengan lebih luas tanpa sempadan disiplin yang membataskan. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |