|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan untuk membangunkan dan menilai keberkesanan satu model pengajaran yang menyokong pemerolehan kemahiran mendengar dalam kalangan pelajar yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga. Pendekatan Reka Bentuk dan Pembangunan (Design and Development Research, DDR) digunakan, melibatkan tiga fasa utama: analisis keperluan, pembangunan model pengajaran, dan penilaian keberkesanan model. Kaedah kajian menggabungkan pendekatan kualitatif dan kuantitatif melalui analisis dokumen, senarai semak, soal selidik serta temu bual bersama guru dan pakar dalam pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga. Dalam fasa pertama, analisis keperluan melibatkan 40 pelajar dan 15 guru, dan mendapati pelajar kurang menggunakan strategi pembelajaran bahasa (SPB) yang sesuai untuk kemahiran mendengar. Hal ini mengesahkan keperluan bagi satu model pengajaran yang sistematik. Fasa kedua memfokus kepada pembangunan dan penilaian kesahan model yang dinamakan Model PKM BMPK, yang menggabungkan lima dimensi berasaskan teori pemerolehan bahasa kedua dan strategi pengajaran kemahiran mendengar yang sesuai untuk pelajar bukan penutur natif. Fasa ketiga melibatkan penilaian keberkesanan model melalui kaedah eksperimen. Kumpulan kawalan (n=23) menerima pengajaran secara konvensional, manakala kumpulan rawatan (n=23) mengikuti pengajaran berdasarkan Model PKM BMPK selama tiga minggu. Data ujian pra dan pasca dianalisis menggunakan SPSS versi 29. Hasil ujian-t berpasangan menunjukkan bahawa kumpulan rawatan mencatat peningkatan yang signifikan dalam skor kefahaman mendengar (t(22) = 4.052, p = 0.003), manakala kumpulan kawalan tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan (t(22) = 2.07, p = 0.0509). Oleh itu, hipotesis nol bagi kumpulan rawatan ditolak, menyokong keberkesanan model yang dibangunkan. Dapatan kajian ini memberi implikasi penting kepada bidang pedagogi, khususnya dalam pembangunan kurikulum bahasa ketiga. Model PKM BMPK berpotensi untuk dimanfaatkan oleh pendidik dan pembuat dasar di Kementerian Pendidikan Singapura bagi meningkatkan penguasaan kemahiran mendengar dalam kalangan pelajar bukan penutur natif Bahasa Melayu. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |