|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II, Dawlah _Uthmaniyyah menghadapi cabaran gerakan nasionalisme yang disokong penjajah dan Yahudi, menyebabkan tanah umat Islam dikuasai Barat dan Eropah. Bagi mengatasi ancaman ini, baginda mempelopori gagasan Pan-Islamisme untuk menyatukan umat Islam secara pemikiran dan kerohanian serta menghalang serangan musuh. Dalam merealisasikan gagasan ini, baginda mendapatkan sokongan tokoh dan ulama seluruh dunia, termasuk Syeikh Ahmad Al-Fatani dari Alam Melayu. Syeikh Ahmad Al-Fatani memainkan peranan penting dalam menyebarkan idea Pan-Islamisme dalam kalangan bangsa Melayu.Oleh itu, objektif Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti latar belakang perkembangan Pan-Islamisme serta menganalisis latar belakang dan pemikiran Syeikh Ahmad Al- Fatani dan peranannya dalam gagasan Pan-Islamisme.Metode yang akan digunakan adalah berbentuk kualitatif dengan melakukan pengumpulan data terhadap bahan sejarah dari sumber primer dan sekunder yang memfokuskan peranan Syeikh Ahmad Al-Fatani dalam menyebaran pemikiran Pan-Islamisme. Seterusnya, penganalisaan data dilakukan mengikut metode tematik dan metode deduktif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Syeikh Ahmad Al-Fatani berperanan penting dalam perkembangan Pan-Islamisme melalui pelbagai usaha, termasuk sebagai penyelia percetakan_Uthmaniyyah, ahli rasmi Dawlah _Uthmaniyyah, dan membina hubungan diplomatik dengan pemimpin Melayu. Pemikirannya tersebar melalui karya seperti Hadiqah al-Azhar wa al-Rayahin, memberi kesan mendalam kepada pelajar Melayu serta mencetuskan impak besar dalam menghadapi penjajahan Barat. Dapatan ini membuktikan bahawa beliau bukan sahaja menyebarkan idea Pan-Islamisme, tetapi turut berperanan dalam membangkitkan kesedaran politik dan sosial masyarakat Melayu, sejajar dengan matlamat kajian.Kesimpulannya, Pan-Islamisme memberikan pengaruh yang signifikan dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. Syeikh Ahmad Al-Fatani memainkan peranan penting dalam menanamkan pemikiran ini dalam kalangan masyarakat Melayu, sekali gus mempengaruhi gerakan kemerdekaan di Tanah Melayu. Implikasi kajian menegaskan bahawa golongan ulama berperanan penting dalam sejarah negara, bukan sekadar tokoh agama, tetapi juga sebagai pemikir dan penggerak nasionalisme. Mereka telah membangkitkan kesedaran perjuangan dan menyemarakkan semangat menentang penjajahan, sekali gus menyumbang kepada gerakan kemerdekaan Tanah Melayu. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |