|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan menilai keberkesanan pendekatan pembelajaran masteri yang digabungkan dengan teknik PEEL dalam meningkatkan kemahiran mengembangkan isi karangan perbahasan Bahasa Tamil dalam kalangan murid tingkatan lima. Kajian ini dilaksanakan berdasarkan keperluan untuk menangani kelemahan murid dalam membina huraian yang mendalam, tersusun dan disokong dengan contoh yang relevan, sebagaimana dikenal pasti melalui amalan pengajaran sedia ada. Reka bentuk kajian ini menggunakan pendekatan kaedah gabungan yang melibatkan data kualitatif dan kuantitatif. Seramai 15 orang murid tingkatan lima yang berada pada tahap pencapaian sederhana terlibat dalam kajian kuasi-eksperimen satu kumpulan pra dan pasca, manakala lima orang guru Bahasa Tamil ditemu bual secara separa berstruktur bagi mengenal pasti masalah utama penulisan karangan perbahasan. Intervensi pengajaran dilaksanakan selama lapan minggu menggunakan pendekatan pembelajaran masteri berpandukan teknik PEEL. Instrumen kajian merangkumi ujian pra dan ujian pasca, analisis dokumen penulisan murid serta temu bual guru. Dapatan kualitatif menunjukkan lima masalah utama murid, iaitu ketidakupayaan mengembangkan isi, kesukaran menyusun huraian mengikut format, kekurangan kosa kata, kegagalan memberikan contoh atau bukti sokongan serta kelemahan tatabahasa. Dapatan kuantitatif pula menunjukkan peningkatan skor min yang signifikan daripada 49.67% dalam ujian pra kepada 72.47% dalam ujian pasca, dengan peningkatan skor individu antara 21% hingga 25%. Analisis dokumen penulisan murid turut menunjukkan peningkatan yang jelas dari segi struktur perenggan, kedalaman huraian, penggunaan contoh yang lebih spesifik serta kesinambungan idea yang lebih koheren. Secara keseluruhannya, kajian ini membuktikan bahawa gabungan pendekatan pembelajaran masteri dan teknik PEEL berkesan dalam meningkatkan kemahiran perkembangan isi karangan perbahasan secara sistematik dan berstruktur, sekali gus menyumbang kepada pengayaan amalan pedagogi penulisan Bahasa Tamil di peringkat sekolah menengah. Kata kunci: pembelajaran masteri, teknik PEEL, karangan perbahasan, perkembangan isi, Bahasa Tamil |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |