|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan untuk membangunkan modul interaktif bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) di sekolah menengah. Fokus kajian ini ialah pengajaran dan pembelajaran Standard Kandungan Eksplorasi Seni bagi tajuk unsur seni tingkatan satu. Eksplorasi seni merupakan aplikasi pengetahuan serta pemahaman terhadap Bahasa Seni Visual (BSV) melalui penggunaan pelbagai media dan proses. Murid meneroka unsur seni daripada alam semula jadi dengan menggunakan pelbagai teknik. Unsur seni merangkumi Garisan, Rupa, Bentuk, Jalinan, Ruang, dan Warna. Kajian ini telah membangunkan modul interaktif yang dinamakan Modul Art-Ration tingkatan satu. Reka bentuk kajian ini merupakan kajian kes eksplanatori dalam penyelidikan kualitatif yang melibatkan empat orang guru PSV dari Sekolah Menengah Kebangsaan Silabukan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tungku, Lahad Datu, Sabah. Seramai tiga orang pakar terlibat bagi mengesahkan instrumen kajian melalui temu bual dan pemerhatian. Analisis dokumen Rancangan Pengajaran Harian (RPH) guru digunakan untuk menilai kebolehgunaan modul di dalam bilik darjah. Model ADDIE digunakan bagi menganalisis keperluan dan menilai kebolehgunaan modul dalam kalangan guru PSV. Analisis tematik dijalankan untuk membentuk kriteria dan tema dalam meneliti keperluan serta kebolehgunaan modul. Seterusnya, triangulasi kaedah digunakan bagi memastikan kesahihan data melalui gabungan pelbagai sumber, kaedah, dan perspektif, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan dapatan kajian. Hasil kajian menunjukkan bahawa Modul Art-Ration dapat membantu guru mempelbagaikan pengajaran eksplorasi seni. Selain itu, modul interaktif ini juga memberikan pengalaman baharu kepada guru dan murid dalam mempelajari unsur seni. Secara keseluruhan, kajian ini menyumbang kepada penghasilan modul pengajaran digital yang boleh dijadikan rujukan untuk memperkukuh pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |