|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan untuk mengkaji penguasaan penggunaan kata kerja dalam penulisan karangan Bahasa Melayu di kalangan murid Tahun 4. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap penguasaan kata kerja, menganalisis kesalahan tatabahasa yang sering dilakukan oleh murid, dan mengenal pasti strategi pengajaran yang berkesan untuk meningkatkan penguasaan kata kerja. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian gabungan yang melibatkan data kuantitatif dan kualitatif. Data kuantitatif diperoleh melalui analisis karangan murid yang dinilai berdasarkan penggunaan kata kerja, manakala data kualitatif diperoleh melalui temu bual dengan guru bagi mengenal pasti kesalahan tatabahasa dan strategi pengajaran yang digunakan. Sampel kajian melibatkan 36 orang murid Tahun 4 yang terdiri daripada pelbagai latar belakang di sebuah sekolah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa majoriti murid menunjukkan penguasaan yang baik dalam penggunaan kata kerja, dengan skor antara 75% hingga 95%. Walau bagaimanapun, beberapa kesalahan tatabahasa sering berlaku, antaranya penggunaan kata kerja yang tidak sesuai, kesalahan bentuk kata kerja, dan kekeliruan antara kata kerja aktif dan pasif. Faktor- faktor yang menyebabkan kesalahan ini termasuk kurangnya pendedahan terhadap penggunaan kata kerja yang betul dan teknik pengajaran yang tidak sesuai. Berdasarkan temu bual dengan guru, strategi pengajaran yang berkesan seperti latihan berulang, penggunaan ayat yang mudah, aktiviti menarik, serta bahan bantu mengajar yang sesuai dapat meningkatkan penguasaan kata kerja dalam kalangan murid. Kajian ini juga mencadangkan penggunaan aktiviti interaktif, maklum balas positif, dan kerjasama ibu bapa untuk meningkatkan minat dan keyakinan murid dalam menulis. Dapatan ini memberikan panduan penting dalam meningkatkan penguasaan tatabahasa, khususnya penggunaan kata kerja dalam penulisan karangan Bahasa Melayu di kalangan murid Tahun 4. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |