|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Literatur lepas masih belum meneliti secara menyeluruh hubungan serentak antara penglibatan ibu bapa, sikap terhadap matematik dan motivasi pembelajaran dengan pencapaian matematik dalam konteks Malaysia, khususnya dalam kalangan murid luar bandar. Sehubungan itu, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti sama ada motivasi pembelajaran, sikap terhadap matematik dan penglibatan ibu bapa merupakan peramal kepada pencapaian matematik murid tingkatan dua di daerah Mukah, Sarawak. Selain itu, kajian ini turut meneliti peranan motivasi pembelajaran dan sikap terhadap matematik sebagai pemboleh ubah mediator dalam hubungan antara penglibatan ibu bapa dan pencapaian matematik. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk tinjauan melibatkan 633 orang murid Tingkatan Dua yang dipilih melalui kaedah persampelan populasi menyeluruh. Instrumen yang digunakan merangkumi Soal Selidik Strategi Bermotivasi untuk Pembelajaran bagi mengukur motivasi pembelajaran, Inventori Sikap Terhadap Matematik bagi mengukur sikap terhadap matematik, dan Inventori Pengaruh Ibu Bapa bagi menilai tahap penglibatan ibu bapa. Pencapaian matematik diukur melalui ujian sumatif. Analisis data dijalankan menggunakan Model Persamaan Berstruktur. Dapatan kajian menunjukkan bahawa sikap terhadap matematik, motivasi pembelajaran dan penglibatan ibu bapa merupakan peramal positif dan signifikan terhadap pencapaian matematik. Prosedur bootstrapping turut mengesahkan bahawa sikap terhadap matematik dan motivasi pembelajaran bertindak sebagai mediator separa dalam hubungan antara penglibatan ibu bapa dan pencapaian matematik. Secara keseluruhannya, kajian ini menegaskan bahawa peningkatan tahap motivasi dan sikap positif murid terhadap matematik dapat memperkukuh pengaruh penglibatan ibu bapa dalam meningkatkan pencapaian matematik. Hasil kajian ini dapat memberi sumbangan kepada literatur tempatan serta menjadi panduan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah di Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Aminuddin Baki dan Institut Pendidikan Guru dalam merancang latihan dan intervensi peningkatan profesionalisme guru ke arah pengajaran matematik yang lebih berkesan. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |