|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan untuk membangunkan modul Conceptual and Procedural Retention Algebra (ConProRet-A), mengkaji keberkesanan modul tersebut terhadap penguasaan pengetahuan konseptual dan prosedural Algebra murid serta menentukan kesan penggunaan modul tersebut terhadap pengekalan pengetahuan konseptual dan prosedural Algebra murid. Kajian reka bentuk dan pembangunan ini menggunakan pendekatan kuantitatif yang terdiri daripada empat fasa iaitu (a) fasa analisis keperluan, (b) fasa pembangunan modul ConProRet-A, (c) fasa penilaian keberkesanan modul dan (d) fasa menguji kesan penggunaan modul terhadap pengekalan pengetahuan konseptual dan prosedural Algebra murid. Fasa pertama melibatkan proses pengumpulan maklumat berkenaan dengan keperluan pembangunan modul pembelajaran untuk membantu murid mengatasi kesukaran dalam pembelajaran Algebra Tingkatan 1 melalui kajian tinjauan menggunakan borang soal selidik. Fasa kedua melibatkan proses membangunkan modul dengan menggunakan model reka bentuk pengajaran ASSURE. Fasa ketiga melibatkan reka bentuk kuasi eksperimen bagi menilai keberkesanan modul yang dibangunkan. Seramai 53 orang murid Tingkatan 1 dari dua buah sekolah di mukim Kampar dipilih sebagai responden melalui persampelan rawak berkelompok. Responden terdiri daripada 27 orang murid kumpulan rawatan dan 26 orang murid kumpulan kawalan. Modul yang dibangunkan disahkan oleh 11 orang pakar dengan peratus kesahan kandungan 90.96%. Dua instrumen yang digunakan adalah set soalan ujian pra dan set soalan ujian pasca yang masing-masing peratus kesahan kandungan 90% serta kebolehpercayaan 0.824 dan 0.793. Fasa keempat menguji kesan penggunaan modul terhadap pengekalan pengetahuan konseptual dan prosedural Algebra murid. Data dianalisis melalui statistik deskriptif dan inferensi. Ujian Mann-Whitney U menunjukkan perbezaan yang signifikan antara kedua-dua kumpulan terhadap min skor ujian pasca penguasaan pengetahuan konseptual dan prosedural Algebra (z = -5.729, p = .000). Ujian Friedman menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan antara min skor pengekalan pengetahuan konseptual dan prosedural antara ujian pasca, UPPKPA 1, UPPKPA 2, UPPKPA 3 dan UPPKPA 4 (p = 1.000). Secara kesimpulan, penggunaan modul ConProRet-A dapat meningkatkan penguasaan serta pengekalan pengetahuan konseptual dan prosedural Algebra murid. Implikasi kajian mendapati modul ConProRet-A dapat menambah kepada bahan bantu mengajar guru dan KPM untuk memudahkan murid mempelajari Algebra dan seterusnya mengekalkan pengetahuan yang dipelajari. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |