|
UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||||||
| Abstract : Perpustakaan Tuanku Bainun |
| Kajian ini bertujuan untuk merangka strategi bagi meningkatkan tahap keselamatan nelayan pinggir pantai semasa operasi penangkapan ikan di negeri Perak. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti serta menilai faktor-faktor penyumbang kepada kemalangan yang melibatkan nelayan. Pendekatan kuantitatif digunakan melalui reka bentuk tinjauan, dengan instrumen soal selidik yang diedarkan kepada dua kumpulan responden: 100 responden bagi analisis Faktor Eksploratori (EFA) dan 336 responden bagi analisis Faktor Pengesahan (CFA), menggunakan teknik persampelan kebetulan homogen. Bagi tujuan analisis, kajian ini menggunakan kaedah Permodelan Persamaan Berstruktur (SEM) menerusi perisian AMOS untuk membangunkan Model Keselamatan Nelayan. Dapatan analisis menunjukkan bahawa Model Keselamatan terdiri daripada lima komponen utama, iaitu Alam Sekitar, Peralatan, Pengurusan, Manusia (Individu) dan Manusia (Kumpulan). Dapatan kajian menunjukkan bahawa konstruk Manusia (Kumpulan) merupakan penyumbang paling dominan terhadap keselamatan nelayan (_ = 0.729), diikuti oleh Peralatan (_ = 0.552), Alam Sekitar (_ = 0.291), Manusia (Individu) (_ = 0.277) dan Pengurusan (_ = 0.045). Tiga faktor utama penyebab kemalangan yang dikenal pasti ialah Manusia (Kumpulan), Peralatan dan Alam Sekitar. Faktor Manusia (Kumpulan), yang merangkumi elemen seperti kerjasama, tekanan rakan sekerja dan komunikasi didapati memberi risiko tinggi terhadap keselamatan nelayan. Oleh itu, strategi keselamatan yang berkesan perlu merangkumi latihan berkumpulan secara berkala yang bukan sahaja menumpukan kepada kemahiran teknikal dalam situasi kecemasan tetapi juga pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, keupayaan membuat keputusan ketika tekanan dan kebolehan bekerjasama dalam persekitaran mencabar. Kesimpulannya, faktor baharu yang dikenalpasti iaitu Manusia (Kumpulan) mempunyai impak besar terhadap keselamatan nelayan. Jika ditangani melalui strategi yang bersesuaian, ia berpotensi mengurangkan risiko kemalangan semasa aktiviti penangkapan ikan dijalankan. Implikasi kajian mencadangkan wujudnya keperluan untuk kolaborasi antara agensi perikanan, pembuat dasar dan komuniti nelayan bagi mempertingkatkan tahap keselamatan menerusi latihan berkala, penambahbaikan peraturan dan penguatkuasaan serta sistem subsidi bagi pembelian peralatan keselamatan dan teknologi moden demi kemajuan industri perikanan negara._ |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |