UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis data korpus berkomputer yang berfokuskan penyelidikan berkaitan golongan kata adverba dengan penumpuan kepada aspek penerang dan keterangan. Dalam reka bentuk kajian, disertasi ini menggunakan pendekatan data korpus berkomputer yang dibangunkan melalui perisian Antconc 3.2 berdasarkan tiga buah novel yang digunakan dalam bahan Komponen Kesusateraan Melayu (KOMSAS), iaitu novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah, Sutera Dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan dan Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir. Data ini kemudiannya dikeluarkan dalam bentuk baris-baris konkordans dan daripada baris konkordans ini, kehadiran kata adverba dalam bentuk sintaktik dianalisis secara manual. Dalam konteks ini, pengkaji melihat keperluan untuk meneliti golongan kata ini berdasarkan teori berasaskan struktural kerana golongan kata ini hanya dapat ditentukan apabila sudah berada dalam strukturnya. Oleh itu, pendekatan yang digunakan oleh Knowles dan Zuraidah Mohd Don (2008), Norliza Hj. Jamaluddin (2011), Van Valin Jr. & R.J LaPOlla (1997) dan Quirk et al. (1995) dijadikan asas dalam kajian ini. Aspek fungsian adverba dalam binaan sintaktik akan diteliti menerusi gatra dan unsur pengisi. Hasil analisis dan tinjauan data korpus berkomputer yang dilakukan menunjukkan bahawa fungsi adverba dalam struktur penerang lazimnya diisi oleh golongan kata sifat, kata kerja, kata nama dan kata adverba. Golongan kata ini lazimnya akan berfungsi menerangkan kata kerja inti, kata sifat inti dan kata adverba. Dalam struktur keterangan pula, gatra ini boleh diisi sekurang-kurangnya satu perkataan sahaja untuk membentuk frasa keterangan. Namun, secara tipikalnya, gatra ini akan diisi oleh unit bahasa bertaraf frasa dan klausa yang dilihat berdasarkan penanda kata sendi dan kata hubung pancangan keterangan. Kajian ini dapat memberi implikasi yang mendalam terhadap fungsi dan peranan golongan kata ini dalam proses pemahaman berkaitan nahu bahasa. Penghuraian yang dilakukan dalam dapatan kajian membolehkan pengguna bahasa memahami dengan lebih jelas berkaitan perilaku kata adverba dalam struktur penerang dan keterangan. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |