Abstract
Pengajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah telah banyak berlaku
perubahan dari segi kandungannya, jika dilihat sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.
Perubahan yang terbaru ialah kemasukan unsur komponen sastera (KOMSAS) bermula pada bulan Mac
tahun 2000. Kewujudan KOMSAS ini bermakna pelajar bukan sahaja mempelajari nahu bahasa Melayu,
malah mereka juga akan berpeluang mendalami dan menghayati aspek-aspek asas dalam kesusasteraan.
Kehadirannya bukan sekadar menambahkan inti pati pengajaran bahasa, tetapi lebih daripada itu iaitu
memperdalami bahasa dan budaya Melayu yang dibanggakan selama ini. Dalam kajian ini, penyelidik
meninjau sikap pelajar tingkatan empat terhadap pelaksanaan KOMSAS da1am pengajaran Bahasa
Melayu dengan menggunakan kaedah kualitatif. Dalam tinjauan ini, tiga aspek akan diteliti, yakni
kognitif (pemikiran), afektif (emosi), dan psikomotor (tingkah laku). Soalan-soalan temu bual
dikemukakan yang menjurus kepada ketiga-tiga aspek tersebut Bagi mengukuhkan dapatan, pandangan
guru-guru, pemerhatian semasa pengajaran KOMSAS, dan keputusan peperiksaan pelajar juga diambil
kira. Hasil daripada kajian ini menunjukkan bahawa KOMSAS membawa banyak impak sama ada kepada
pelajar, masyarakat mahupun negara. Didapati KOMSAS banyak membawa kesan positif. Antara dapatan
yang dapat dikesan ialah para pelajar meminati KOMSAS, namun begitu kebanyakan pelajar
bermasalah dalam mempelajari beberapa genre sastera seperti puisi, prosa klasik, dan drama.
Pengajaran KOMSAS dapat memupuk nilai kemanusiaan dalam diri pelajar yang menjadi unsur penting
dalam pembinaan negara, khususnya bagi melahirkan masyarakat madani.