UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti bentuk interaksi, faktor yang mempengaruhi interaksi dan strategi yang digunakan oleh sekolah dalam meningkatkan interaksi pelajar. Kaedah kajian kes telah digunakan untuk meneroka isu kajian ini. Pengumpulan data kajian adalah melalui kaedah temu bual secara individu dan berkumpulan, pemerhatian serta analisis dokumen. Dapatan kajian menunjukkan terdapatnya lima bentuk interaksi sosial iaitu kerjasama, timbal balik, persaingan, konflik dan komunikasi bukan lisan. Walaupun wujud konflik dan stereotaip, namun pelajar masih menunjukkan sikap untuk mempelajari budaya dan menerima perbezaan yang terdapat antara etnik. Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa terdapat faktor dalaman dan luaran sekolah yang mempengaruhi interaksi pelajar. Antara faktor dalaman adalah seperti pentadbiran sekolah, guru, persekitaran sekolah, sikap pelajar, rakan sebaya, sekolah rendah asal dan hobi pelajar. Faktor luaran sekolah pula adalah budaya, kawasan persekitaran tempat tinggal dan ibu bapa. Bagi mengukuhkan interaksi pelajar, lima strategi telah dijalankan oleh sekolah ini. Strategi tersebut adalah memupuk perpaduan nasional, menggalakkan interaksi pelajar pelbagai etnik, merangsang penerimaan dan toleransi antara pelajar, membentuk persekitaran sekolah melambangkan kepelbagaian etnik dan penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Secara kesimpulannya, interaksi positif sesama pelajar amat penting di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk. Oleh itu, semua pihak khususnya pentadbir sekolah harus melaksanakan pelbagai usaha dalam mengukuhkan interaksi pelajar pelbagai etnik ini agar keharmonian dapat dikekalkan. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |