UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : |
Artikel ini bertujuan untuk menilai masalah pencemaran bunyi bising trafik yang berlaku di persekitaran sekolah di bandar Batu Pahat, Johor, Malaysia. Pemilihan kawasan kajian adalah berdasarkan faktor letakkan sekolah yang sentiasa terdedah dengan gangguan bunyi bising trafik. Sebanyak lima buah sekolah yang terletak di sekitar pusat bandar telah dipilih sebagai kawasan kajian. Kaedah yang digunakan adalah dengan membuat cerapan menggunakan Sound Level Datalogger Model 407780 Extech Instrument bagi menentukan nilai maksimum (Mak), minimum (Min) dan purata keseluruhan (Leq). Pencerapan bagi setiap stesen adalah sebanyak tiga kali iaitu pagi (7.00 pagi hingga 9.00 pagi), tengah hari (12.00 tengah hari hingga 2.00 petang) dan petang (5.00 petang hingga 7.00 petang) iaitu selama 10 minit setiap waktu pada hari bekerja dan tidak bekerja. Tujuan pemilihan tiga waktu pencerapan ini adalah untuk mendapatkan purata bagi keseluruhan hari dan membandingkan tahap bunyi bising trafik di lokasi kajian pada waktu puncak. Dapatan kajian menunjukkan tahap bunyi bising trafik paling tinggi dicatatkan di SK Bukit Soga iaitu 73.8 dBA pada hari bekerja dan 72.5 dBA pada hari tidak bekerja. Tahap bunyi bising trafik paling rendah pula direkodkan di SMK Dato’ Bentara Luar iaitu 59.9 dBA pada hari bekerja dan 59.4 dBA pada hari tidak bekerja. Secara keseluruhannya, tahap bunyi bising trafik yang direkodkan bagi semua sekolah yang terlibat adalah melebihi standard yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu 55 dBA bagi kawasan sensitif pada waktu siang. Oleh yang demikian, langkah-langkah pengawalan daripada segi bukan perundangan seperti kawalan pada sumber bunyi, kawalan pada laluan penghantar bunyi, kempen melalui pendidikan serta kawalan melalui perundangan perlu dilaksanakan agar isu kebisingan trafik dapat diatasi. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |