UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan melihat keberkesanan model kaunseling kelompok berstruktur terhadap penghargaan kendiri dan motivasi pelajar. Kajian ini dijalankan secara eksperimental iaitu melalui ujian pra dan ujian pos ke atas 40 orang pelajar tingkatan dua daripada sebuah sekolah menengah di dalam daerah Kinta yang dipilih berdasarkan skor min soalselidik yang menggunakan Self Esteem Inventory (SEI) dan Ujian Motivasi Pencapaian. Mereka kemudian dibahagikan kepada dua kumpulan dengan menggunakan kaedah sampel rawak berpasangan, iaitu kelompok rawatan dan kelompok kawalan. Subjek kumpulan rawatan diberikan sepuluh sesi bimbingan kelompok. Bimbingan kelompok ini menggunakan Modul Kaunseling Kelompok Berstruktur (KKB) yang berlandaskan Teori Rasional Emotif Perlakuan. Kumpulan rawatan telah menerima rawatan menggunakan KKB sementara kumpulan kawalan mengikuti kehidupan seperti biasa. Data kuantitatif dikumpul dengan menggunakan soal selidik SEI dan Ujian Motivasi Pencapaian. Data kajian dianalisis menggunakan ujian-t berpasangan, ANCOVA dan ujian Post Hoc dengan aras signifikan ditetapkan pada aras .05. Dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan pada penghargaan kendiri dan motivasi pencapaian antara ujian pra dan ujian pos terhadap kelompok rawatan. Selain itu, dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan bagi ujian pos antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan pendekatan kaunseling kelompok menggunakan modul KKB berkesan dalam meningkatkan tahap penghargaan kendiri dan motivasi pencapaian pelajar. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |