UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini membincangkan proses al-takhalli dan al-tahalli yang berfokus kepada sebuah kitab yang bertajuk Jala' al-Qulub Bi Dhikr Allah oleh Hj. ‘Abd Al-Samad ibn Muhammad Salih al-Kalantani (Tuan Tabal). Al-takhalli dan al-tahalli ialah satu proses penyucian dan penjernihan jiwa yang merupakan satu persoalan penting dalam disiplin ilmu Tasawuf yang semakin ditinggalkan dan dilupakan oleh sebilangan besar umat Islam malah dianggap amalan yang sesat. Kajian ini bertujuan meneliti secara mendalam konsep dan kedudukan al-takhalli dan al-tahalli dalam disiplin ilmu Tasawuf, cara dan langkah bagaimana proses pembersihan dan penjernihan jiwa dilakukan serta kewajarannya dalam amalan tarekat bersumberkan al-Quran dan al-Hadith. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan untuk menganalisis hubung kait al-takhalli dan al-tahalli dengan hasil penjernihan jiwa yang disebut Wahdah al-Wujud oleh pengarang, tetapi dikatakan bertentangan dengan akidah Ahlus Sunnah Wal Jama‘ah. Kajian ini menggunakan kajian perpustakaan dan kajian lapangan. Kajian perpustakaan melibatkan data sekunder berbentuk dokumentasi dan histori yang dijalankan untuk pengumpulan data bagi mendapatkan fakta yang tepat, pandangan para alim ulama yang muktabar daripada kitab-kitab tasawuf, al-Quran dan al-Sunnah. Kajian Lapangan pula dilakukan untuk mendapatkan data berbentuk primer menerusi temu bual dengan pengamal tarekat tentang amalan al-takhalli dan al-tahalli serta kedudukan amalan meraka mengikut al-Quran dan al-Sunnah (metode interview, metode observasi). Rumusan kajian ini, bahawa al-takhalli dan al-tahalli merangkumi disiplin amalan berzikir bagi penjernihan jiwa dan pencapaian hakikat keesaan Allah SWT iaitu Wahdah al-Wujud yang berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah serta pemahaman akidah Ahlus Sunnah Wal Jama‘ah. Kajian ini memberi implikasi dari segi teori dan praktikal kepada semua umat Islam bukan sekadar terhenti pada lapangan ilmu sahaja tetapi mestilah beramal dengan amalan tauhid yang dihayati dalam kehidupan seharian agar dibuka rahsia ketuhanan (makrifat) pada hati yang suci daripada Syirk Jali, Khafi dan Khafi al-Khafi. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |