UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan menentukan keberkesanan kaedah pembelajaran kooperatif model STAD (Students Team Achievement Division) berbanding dengan kaedah pengajaran tradisional terhadap pencapaian matematik dan motivasi pembelajaran. Kaedah eksperimen kuasi digunakan dalam kajian ini. Sampel kajian seramai 61 orang murid tingkatan dua berpencapaian sederhana dari sebuah sekolah menengah kebangsaan luar bandar di negeri Perak. Dalam kajian ini, kumpulan rawatan terdiri daripada 30 orang murid. Manakala kumpulan kawalan terdiri daripada 31 orang murid. Pemboleh ubah tidak bersandar dalam kajian ini adalah kaedah pembelajaran kooperatif model STAD manakala pencapaian matematik dan motivasi pembelajaran adalah pemboleh ubah bersandar. Instrumen kajian adalah ujian pra-pasca dan soal selidik motivasi pembelajaran pra-pasca. Data dianalisis menggunakan ujian-t sampel tidak bersandar, ujian-t sampel berpasangan, dan analisis deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian matematik kumpulan pembelajaran kooperatif model STAD berbanding dengan kumpulan pengajaran tradisional. Penggunaan kaedah pembelajaran kooperatif model STAD tidak menunjukkan peningkatan motivasi pembelajaran yang signifikan. Kesimpulannya, pembelajaran kooperatif model STAD berkesan dalam meningkatkan pencapaian matematik dan tidak berkesan terhadap motivasi pembelajaran. Implikasi kajian ini mencadangkan supaya kaedah pembelajaran kooperatif model STAD digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran matematik bagi meningkatkan pencapaian. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |