UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Tujuan penyelidikan ini adalah untuk meneroka peranan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang sudah berkahwin mahupun belum terhadap keluarga, mengetahui fungsi ekonomi, sosial-budaya, pendidikan, dan agama pada keluarga, dan seterusnya ingin mengetahui impak perhubungan kekeluargaan dalam keluarga besar TKI. Kekurangan peluang pekerjaan, keengganan hidup bertani, dan keinginan hidup gaya moden telah memberikan impak kepada generasi muda Jawa. Generasi ini melakukan penghijrahan ke luar daerah, bahkan keluar negeri untuk menjadi pekerja. Salah satu tempat pilihan para pencari kerja ke luar negeri ialah Malaysia. Para pencari kerja tersebut dinamakan Tenaga Kerja Indonesia (TKI). Keputusan menjadi TKI di Malaysia menimbulkan berbagai-bagai kes. Penyelidikan ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan metod pengumpulan data temu bual, amatan, dan dokumentasi. Sementara analisis data menggunakan analisis deskriptif dan analisis eksplanatori dengan pendekatan teori struktural fungsional. Hasil penyelidikan ini menunjukkan bahawa peranan TKI terhadap keluarga yang ditinggalkan terdapat dua perbezaan, iaitu bagi TKI yang belum berkeluarga, kecil pengaruhnya terhadap keluarga, namun bagi TKI yang sudah berkeluarga dan meninggalkan keluarganya menimbulkan impak perceraian dalam kalangan keluarga dan cenderung merosakkan nilai perkahwinan. Fungsi TKI dalam keluarga dapat dilihat dari sudut ekonomi, iaitu sebahagian TKI telah membuat kejayaan dan sebahagiannya tidak memberi kesan dalam ekonomi. Pengaruh lain terhadap keluarga dan TKI sendiri adalah terdapat impak pendidikan, sosial-budaya, agama, dan sistem perhubungan kekerabatan keluarga yang kurang menguntungkan. Saranan yang ingin disampaikan adalah dari segi peningkatan kesejahteraan keluarga TKI Jawa, tidak semata-mata kesejahteraan ekonomi melainkan faktor nilai-nilai kebudayaan dalam keluarga hendaklah dijadikan pertimbangan utama bagi TKI. Diharapkan juga kebijaksanaan daripada pihak-pihak tertentu agar menjaga kepentingan TKI supaya dapat mengurangkan impak kepada keluarga yang ditinggalkan. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |