UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Tujuan kajian ini adalah untuk menilai keberkesanan program latihan kemahiran vokasional untuk masyarakat Orang Asli di dua buah pusat latihan yang melibatkan dua kursus iaitu jahitan dan automotif. Kajian ini menggunakan rekabentuk penilaian program untuk menilai kesesuaian kurikulum, kesediaan tenaga pengajar, kerjasama pentadbir pusat latihan, kemudahan, proses pengajaran dan pembelajaran, kerja amali, penilaian kerja kursus dan akhirnya hasil program terhadap pelajar dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan perubahan sikap. Model CIPP digunakan sebagai model penilaian untuk menilai pelaksanaan latihan kemahiran vokasional. Seramai 56 orang responden dipilih yang terdiri daripada pengajar, pentadbir dan pelajar. Kajian berbentuk penilaian program ini menggunakan instrumen yang terdiri daripada soal selidik, protokol temubual dan senarai semak pemerhatian. Dapatan utama kajian menunjukkan responden bersetuju bahawa pelaksanaan latihan kemahiran adalah berasaskan kurikulum yang telah disediakan. Walau bagaimanapun, pengajar dan pentadbir pusat latihan kurang berpuas hati dengan proses pengajaran dan pembelajaran dan produk program ini. Analisis regresi berganda mendapati faktor kesediaan dan kursus yang dihadiri pengajar menjadi penyumbang utama kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Pengetahuan, kemahiran, proses pengajaran dan pembelajaran dan kerja-kerja amali juga menyumbang kepada hasil program. Walau bagaimanapun, dapatan kajian juga menunjukkan responden tidak pasti terhadap tiga elemen berikut: aspek kerjasama dengan pihak industri, aspek peningkatan kemahiran dan aspek kemudahan dan peralatan. Maka, kajian ini mencadangkan satu kerangka baharu dalam latihan vokasional untuk masyarakat Orang Asli di Malaysia. Cadangan lain daripada kajian ini termasuklah: meningkatkan kerjasama di antara pusat latihan dan industri; mengiktiraf kemahiran belia Orang Asli dan menaiktarafkan pusat latihan supaya menepati keperluan semasa belia Orang Asli. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |