UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini dilakukan untuk membina satu model penyatupaduan nasional melalui sistem pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu, yang dikenali sebagai Model Falsafah Bahasa Penyatuan Bangsa. Dalam model ini, elemen falsafah bahasa akan diserapkan ke dalam sistem pembelajaran bahasa Melayu bagi mewujudkan kesedaran penyatupaduan nasional dalam kalangan murid. Tiga objektif utama ialah meninjau kebolehlaksanaan pembangunan Model Falsafah Bahasa untuk Penyatupaduan Nasional, menghasilkan model prototaip dan menilai pelaksanaannya untuk penyatupaduan nasional. Penyelidikan ini menggunakan kaedah Design and Development Research Approach yang diperkenalkan oleh Richey dan Klein. Gabungan kaedah kuantitatif dan kualitatif diimplimentasikan dalam kajian ini berpandukan Model Falsafah Pendidikan Bahasa oleh Awang Sariyan dan Model Falsafah Bahasa oleh Mohd Rashid Md Idris yang telah diteliti berdasarkan dua teori teras falsafah bahasa, iaitu Teori Relativiti Bahasa oleh Edward Sapir dan Benjamin Whorf dan Teori Kenuranian Bahasa oleh Chomsky, Syed Muhammad Naquib Al- Attas dan Hashim Musa. Selanjutnya kemasukan etos bahasa Melayu oleh Asmah Omar dan Teo Kok Seong memantapkan lagi kerangka teori dalam kajian ini. Dapatan kajian pada fasa analisis keperluan menunjukkan 200 orang guru bersetuju tentang potensi kebolehlaksanaan pembangunan model ini. Pada fasa reka bentuk pula, 23 orang pakar mencapai kesepakatan yang tinggi terhadap tujuh tema dan 99 elemen falsafah bahasa setelah melalui tiga pusingan bagi membentuk model prototaip. Dapatan kajian pada fasa penilaian menunjukkan hampir kesemua elemen tersebut dilaksanakan pada tahap tinggi dan interpretasi memuaskan di Sekolah Kluster Kecemerlangan (Kebitaraan Bahasa Melayu). Hasil Analisis Tinjauan Faktor telah mengenal pasti 17 subtema baharu dan 95 elemen. Kajian ini berjaya membangunkan Model Falsafah Bahasa Penyatuan Bangsa secara khusus dan asli. Implikasi kajian ini dapat memperluaskan skop dan peranan falsafah bahasa daripada bidang yang hanya berfokus kepada pendidikan bahasa kepada usaha penyatupaduan nasional. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |