UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Pengaruh Islam telah memainkan peranan yang besar dalam pembentukan seni visual Islam di Malaysia. Beberapa elemen seni visual kini telah direka bentuk bagi menepati unsur-unsur kesenian Islam. Melalui seni bina masjid, terdapat tiga entiti utama kesenian Islam yang ditonjolkan iaitu seni khat, Arabesque dan Corak Geometri. Setiap entiti tersebut mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kajian ini berkaitan dengan penggunaan corak geometri Islam yang terdapat pada masjid-masjid negeri di Semenanjung Malaysia. Masjid adalah lambang bagi agama Islam manakala mihrab, mimbar, menara dan kubah adalah antara empat ciri utama yang perlu ada pada setiap masjid. Tujuan laporan penyelidikan yang dilakukan ke atas sebelas buah masjid-masjid negeri, adalah untuk mengenal pasti, menganalisis dan mengkaji proses penghasilan reka bentuk corak geometri Islam berasaskan teori Gestalt, konsep Haqiqah dan Ihsan. Reka bentuk kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dan data dikumpul melalui pendekatan pemerhatian, temu bual dan foto visual di lapangan. Dapatan kajian mendapati reka bentuk corak geometri Islam bagi setiap masjid-masjid negeri di Malaysia adalah berbeza antara satu sama lain. Hal ini kerana beberapa buah masjid di Semenanjung Malaysia tidak menekankan elemen seni bina Islam di dalam pembinaan masjid. Berdasarkan dapatan data yang diperolehi hanya sembilan masjid negeri yang menggunakan corak geometri Islam pada kubah, mimbar, menara dan mihrab. Sebelas corak geometri yang telah dikenal pasti terdiri daripada corak geometri segi empat sama, perulangan 2x segi empat tepat, perulangan segi empat ‘rhombus’, perulangan 2x segi empat sama/oktagon, perulangan 2x segi empat sama/oktagon (2x4=8), heksagon dan segi empat ‘kite’, dan perulangan 2x segi enam/heksagon (2x6=12), segitiga ‘triangle’ dan dektagon. Hasil kajian juga mendapati kebanyakan responden yang di temu bual kurang memahami reka bentuk corak geometri Islam. Secara keseluruhannya, hasil kajian menunjukkan bahawa reka bentuk corak geometri Islam pada seni bina masjid-masjid negeri di Semenanjung Malaysia masih lagi boleh dikembangkan dan diaplikasikan serta bahan kajian ini dapat menjadi panduan dan rujukan kepada masyarakat. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |