UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian eksperimental ini dijalankan berdasarkan lima tujuan utama. Pertama, mengukur kesan Kaunseling Kelompok Perkembangan dan Rawatan (KKPR) terhadap konsep kendiri, resilien dan daya tindak kumpulan rawatan dengan kumpulan kawalan. Kedua, mengukur kesan KKPR terhadap konsep kendiri, resilien dan daya tindak kumpulan rawatan maraton dan kumpulan rawatan mingguan. Ketiga, mengukur kesan KKPR terhadap konsep kendiri, resilien dan daya tindak kumpulan rawatan keluarga berpendapatan tinggi dan kumpulan rawatan keluarga berpendapatan rendah. Keempat, mengenal pasti bentuk gangguan psikologikal terhadap subjek. Kelima, meneroka perubahan psikologikal terhadap subjek kesan intervensi KKPR. Seramai 60 subjek diagihkan secara rawak kepada empat kumpulan rawatan mingguan dan maraton (keluarga berpendapatan tinggi dan keluarga berpendapatan rendah) dan dua kumpulan kawalan (keluarga berpendapatan tinggi dan keluarga berpendapatan rendah). Data kuantitatif ujian pra dan ujian pos dikumpul menggunakan Skala Konsep Kendiri Multidimensi, Skala Daya Ketahanan serta Inventori Strategi Daya Tindak dan dianalisis secara deskriptif dan inferensi melalui ujian statistik min, MANCOVA dan Post Hoc Tukey pada aras signifikan 0.5. Data temu bual dikumpulkan melalui lima subjek dan dianalisis menggunakan pendekatan analisis kandungan. Hasil kajian menunjukkan; pertama, kumpulan rawatan KKPR lebih berkesan secara signifikan meningkatkan konsep kendiri, resilien dan daya tindak berbanding kumpulan kawalan. Kedua, kumpulan rawatan mingguan lebih berkesan berbanding kumpulan rawatan maraton dalam meningkatkan konsep kendiri, resilien dan daya tindak subjek. Ketiga, kumpulan rawatan pendapatan keluarga rendah lebih berkesan berbanding kumpulan rawatan pendapatan keluarga tinggi dalam meningkatkan konsep kendiri, resilien dan daya tindak subjek. Keempat, kelompok kaunseling KKPR berkesan mengenal pasti gangguan psikologikal dialami subjek berpunca daripada pemikiran tidak rasional. Kelima, kelompok kaunseling KKPR berkesan menyingkirkan pemikiran tidak rasional serta menyesuaikan emosi dan tingkah laku positif subjek. Kesimpulannya, KKPR didapati berkesan meningkatkan konsep kendiri, resilien dan daya tindak dalam kalangan subjek kajian. Secara keseluruhan, dapatan kajian memberi implikasi teoritikal dan praktikal terhadap bidang kaunseling dalam konteks menangani tingkah laku bermasalah dalam kalangan pelajar. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |