UPSI Digital Repository (UDRep)
|
|
|
Abstract : Universiti Pendidikan Sultan Idris |
Kajian ini bertujuan menentukan kesan pengajaran Kohesi Nahuan Konjungsi (KNK)secara terancang terhadap tahap pencapaian penulisan karangan Bahasa Melayu dalam kalangan murid tingkatan empat. Kaedah kuasi eksperimen telah digunakan dalam kajian ini bagi melihat kesan penggunaan modul pengajaran KNK yang dibina bersandarkan Model Pengajaran Morrison, Ross dan Kemp. Seramai 61 orang murid dari dua kelas tingkatan empat sebuah sekolah di Selangor terlibat sebagai sampel kajian. Sampel telah dibahagikan kepada kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Ujian pra telah dijalankan bagi sampel dari kedua-dua kumpulan. Sampel dikehendaki menghasilkan sebuah karangan. Kumpulan rawatan kemudiannya telah mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran menulis karangan menggunakan modul KNK secara terancang manakala kumpulan kawalan pula menjalani pengajaran penulisan mengandungi unsur KNK secara konvensional. Setelah 12 minggu, kedua-dua kumpulan menduduki ujian pasca dengan menghasilkan sebuah lagi karangan. Kedua-dua set karangan yang dihasilkan disemak secara holistik dan diberi pemarkahan berdasarkan skema pemarkahan Sijil Pelajaran Malaysia. Karangan tersebut juga dianalisis untuk mengetahui kekerapan, tahap dan mutu penggunaan KNK. Paired Samples t-test digunakan untuk melihat sama ada terdapat perbezaan dalam penggunaan KNK dalam karangan bagi kedua-dua kumpulan dalam ujian pra dan ujian pasca. Kajian mendapati terdapat perbezaan yang signifikan dalam pencapaian skor penulisan karangan, kekerapan dalam penggunaan KNK, tahap dan mutu penggunaan KNK dalam karangan pada ujian pasca berbanding ujian pra bagi kumpulan rawatan berbanding kumpulan kawalan. Kesimpulannya, kajian ini mendapati model pengajaran KNK secara terancang telah meningkatkan tahap pencapaian murid dalam penulisan. Implikasinya, modul pengajaran KNK terancang boleh digunakan oleh guru bagi meningkatkan mutu karangan murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |